Rayani Air: Belum ada keperluan panggil inkuiri kedua - DCA

Harits Asyraf Hasnan
Mei 14, 2016 17:46 MYT
AZHARUDDIN: Segala jawapan, segala fakta yang diberi akan dianalisis dan DCA akan membuat keputusan. -Gambar fail
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kini sedang menganalisis keterangan yang diberikan pihak pengurusan Rayani Air sebelum membuat sebarang keputusan terhadap syarikat itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya melihat belum ada keperluan untuk DCA memanggil pengurusan syarikat penerbangan itu bagi sesi inkuiri kali kedua.
"Kita tidak membuat keputusan (untuk memanggil sesi inkuiri kedua) sedemikian lagi. Kita mengenal pasti beberapa perkara yang diajukan kepada pengurusan Rayani Air dan mereka memberi penerangan kepada kita berdasarkan soalan-soalan yang diajukan.
"Segala jawapan, segala fakta yang diberi akan dianalisis dan DCA akan membuat keputusan," katanya kepada media selepas menghadiri Forum Industri Penerbangan di Universiti Teknologi Malaysia, di sini pada Sabtu.
Azharuddin pada masa sama enggan mendedahkan soalan serta skop isu yang ditanya pihaknya dalam inkuiri tersebut.
Khamis lalu, pengasas Rayani Air Datuk G.Karthiyani hadir memberi keterangan dalam sesi inkuiri berkaitan pengurusan dan operasi syarikat penerbangan itu.
DCA sebelum ini mengumumkan penggantungan sementara operasi syarikat penerbangan patuh syariah itu selama tiga bulan bermula 11 April.
Susulan notis penggantungan yang dihantar kepada syarikat penerbangan itu, DCA akan melaksanakan pentadbiran dan audit keselamatan menyeluruh operasi Rayani Air untuk menilai pematuhannya kepada Sijil Pengendali Udara (AOC).
Ini merupakan kali pertama AOC sebuah syarikat penerbangan digantung mengikut Peraturan 87 (1) Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 1996.
#AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN #DCA #Jabatan Penerbangan Awam #Karthiyani #Rayani Air
;