Raya terakhir buat dua beradik
Adie Sufian Zulkefli
Julai 2, 2018 13:11 MYT
Julai 2, 2018 13:11 MYT
"Tak sangka hari raya baru-baru ini adalah kali terakhir kami beraya bersama."
Hanya itu yang mampu diungkapkan Nariya Abdullah, 47 tahun, ibu kepada Muhammad Amirul Kushairi Amirasid, 21, dan Nurul Atikah Amirasid, 19, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lencong Timur, Amanjaya Sungai Petani, petang semalam.
Kejadian berlaku ketika dua beradik tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Serai Wangi, Padang Serai.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki dua beradik itu merempuh belakang sebuah bas yang rosak di tepi jalan.
Akibat rempuhan itu, Muhammad Amirul maut di tempat kejadian manakala Nurul Atikah meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultan Abdul Halim.
Menurut Nariya, kedua-dua anaknya itu memaklumkan kepadanya ingin keluar ke Sungai Petani untuk membeli Al-Quran.
Nariya yang masih terkejut dengan tragedi tersebut, bagaimanapun redha dengan pemergian dua anak kesayangannya itu.
Muhammad Amirul merupakan seorang guru agama manakala Nurul Atikah bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang sementara menunggu panggilan masuk ke universiti.
Jenazah kedua-dua beradik dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Kampung Guar Lobak, Padang Serai, malam tadi.
Sementara itu, menurut pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Sazalee Adam, siasatan awal mendapati bas yang dirempuh mengalami kerosakan dan sedang dalam perjalanan ke Puspakom ketika kejadian berlaku.