'Raya tahun ini tidak sama dengan tahun lepas' - anak kehilangan keluarga dalam kemalangan
Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 25, 2017 14:36 MYT
Jun 25, 2017 14:36 MYT
Aidilfitri hari kemenangan buat umat Islam, hari gembira, hari bermaafan.
Namun tidak semua yang mampu meraikannya dengan senyuman.
Bagi Wan Muhammad Hazim Wan Mohd Fauzi, Raya tahun ini tidak sama dengan tahun lepas.
Menelan rasa dalam suasana raya yang terasing, detik ini pastinya mencabar buat remaja 19 tahun itu.
Astro AWANI mengunjungi kediaman Hazim di kuaters kediaman penjawat awam di Putrajaya ini bagi melihat sendiri kehidupan Hazim selepas kehilangan kesemua ahli keluarga dalam satu kemalangan baru-baru ini.
Nyata anak muda 19 tahun ini masih belum gagah sepenuhnya menelan hakikat kehilangan dan apa yang berlaku.
Tiada persiapan seperti sebelumnya, malah setiap barangan di kediaman ini meruntun jiwanya setiap kali memandangnya.
“Arwah ayah suka duduk sini, ini memang tempat dia. Kalau ada orang lain nak duduk, memang dia akan bising.
“Kalau dia ada, dia bising..kalau dia tidak ada boleh duduk,” kata Hazim.
Meja makan di rumahnya antara detik terakhir beliau bersahur bersama keluarga dan memang sukar bagi Hazim melupakan saat itu.
Masih terngiang pesanan terakhir kedua orang tuanya pada hari yang menjadi tinta hitam dalam kehidupannya.
"Arwah ayah ada pesan, balik nanti jaga rumahnya. Masa nak tidur pun saya fikir kenapa arwah ayah cakap macam itu, suruh jaga rumah..saya pun terkilan."
Masakan ibu, hilai tawa adik beradik, nasihat ayah..adakalanya terkumpul memori itu di dalam benaknya dalam satu masa.
Kini dia tidak tahu bagaimana cara terbaik untuknya menyambut kedatangan Syawal tanpa mereka disisi, yang jelas ia pasti sangat janggal dan asing.
Kami turut berkesempatan menemani beliau membeli baju raya di Putrajaya sebelum beliau pulang ke Kelantan demi menunaikan hasrat keluarga mereka yang mahu beraya di sana.
Hasrat keluarga mahu beraya dengan tema merah akhirnya ditunaikan Hazim sebagai tanda kasih pada mereka.
Jikalah mampu mereka mendengar rintihan dan doa Hazim, mahu sahaja anak muda ini menyampaikan apa yang terbuku di hatinya buat keluarga tercinta.
“Saya nak minta maaf dekat arwah emak dan arwah ayah, adik beradik kalau saya ada buat salah.. saya memang rindukan mereka.
“Sebelum ini pun saya memang rapat dengan mereka..kalaulah saya ada buat jahat sebelum ini..saya nak berubah menjadi insan yang baik,” Hazim akhiri perbualannya.