Raya PKP disambut sederhana, kemeriahan masih terasa
Ridauddin Daud
Mei 13, 2021 13:40 MYT
Mei 13, 2021 13:40 MYT
KUALA LUMPUR: Hari pertama Syawal dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua, kemeriahannya masih terasa meskipun tidaklah sehebat sewaktu dunia bebas daripada COVID-19.
Di Masjid Negara misalnya, meskipun hanya 50 orang dibenarkan menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di dalam masjid, jemaah lain yang tidak dibenarkan masuk memilih untuk solat di luar masjid.
Begitupun, tidak sedikit pun mereka mengeluh sebaliknya tetap bersemangat menunaikan solat, beralaskan sejadah dan bertemankan hampir 100 umat Islam di luar masjid berkenaan.
Bagi Muhamad Zulhairi Zailan, walaupun tidak dapat masuk ke masjid, bersolat di luar masjid juga tidak banyak bezanya asalkan dapat menunaikannya.
“Saya nampak dalam PKP tahun ini, dalam kita beraya, kita masih lagi boleh solat tapi dalam keadaan berPKP, seperti kita tahu.
“Alhamdulillah ibadah beraya seperti biasa. Masing-masing bawa sejadah, masih amalkan SOP (prosedur operasi standard) ketika sembahyang di pekarangan masjid,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Bagi Adam @ Ahmad Sidqi Ghazali, 28, dia mengakui begitu merindukan keluarganya di Terengganu namun tetap akur dengan arahan kerajaan.
Jelasnya, teknologi terkini akan digunakan sebaiknya bagi memastikan ukhuwah sesama keluarga tetap terpelihara.
“Raya tahun ini memandangkan PKP, kerajaan makin tegas, kita reda dan terima seadanya dan beraya bersendirian.
“Semangat beraya masih ada, ada yang solat raya ini, walaupun sunat tapi setahun sekali kita wajibkan,” ujarnya.
Sama juga semangat dikongsi dua lagi jemaah yang ditemui Astro AWANI, Muhammad Khairul Izmil Kamarul Zaman dan Ahmad Redzuan Mohd Ismail.
“Walaupun kita beraya di luar (perantauan), semangat kena ada sebab sekarang pun PKP kita kena patuh kepada arahan kerajaan.
“Kemeriahan tetap ada, masih lagi raya dengan meriah,” kata Muhammad Khairul Izmil.
Ahmad Redzuan pula berkata: “Alhamdulillah saya selalu mendekat diri dengan Allah, itu saja tujuan saya. Saya sudah tua, ajal sudah hampir tiba,mendekatkan diri dengan Allah, itu saja.
“Tiada lain,hidup di dunia pun macam ini saja,” ujarnya.
Meskipun keluarga jauh di mata namun sentiasa dekat di hati dan mereka mengharapkan, tahun depan dapat kembali beraya bersama keluarga di hari pertama Syawal.
#Masjid Negara
#solat raya
#Solat sunat Aidilfitri
#hari raya
#syawal
#Kuala Lumpur
#Aidilfitri
#COVID-19
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#SOP
#Astro Awani
#Islam
#Lebaran AWANI