Raya perantauan: Kemeriahan di Malaysia tiada tandingan
Madiha Abdullah
April 22, 2023 09:00 MYT
April 22, 2023 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Bagi rakyat Malaysia di perantauan, apa yang paling dirindui ketika sambutan Aidilfitri adalah kemeriahan suasana hari raya
Begitu yang dilalui komuniti Malaysia di Kazakhstan. Tiada cuti umum, namun mereka tetap mengamalkan tradisi berkumpul pada pagi 1 Syawal bagi menyambut Aidilfitri.
Berbanding sambutan di Malaysia yang meriah dengan pakaian baharu dan menziarahi saudara mara serta sahabat handai, situasinya berbeza bagi Nizam Rahim, ahli perniagaan yang memiliki restoran makanan Malaysia, Restoran Santai di Almaty.
Hampir dua tahun menetap di Kazakhstan, Nizam mengakui kemeriahan Aidilfitri di kampung halaman adalah yang paling dirinduinya, apatah lagi komuniti Malaysia di negara itu tidak ramai.
"Kami di sini sambut bersama keluarga dan kawan rapat, tidak ramai, adalah seorang dua. Kali ini saya bertuah kerana ibu saya datang melawat, jadi dia masak soto dan kami makan bersama di pagi raya.
"Ada juga pemberian duit raya, makan kuih-muih. Pendek kata kita buat macam di Malaysia, mainkan lagu-lagu raya.
"Kita cuba bawa kemeriahan itu ke Kazakhstan," katanya ketika ditemu ramah menerusi panggilan video, pada Jumaat.
Di Kazakhstan, 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 21 April.
Negara bekas Kesatuan Soviet itu mempunyai kira-kira 70 peratus penduduk beragama Islam, namun Aidilfitri tidak disambut secara besar-besaran kerana perayaan utama yang disambut penduduk ialah Aidiladha.
Berbeza bagi Setiausaha Pertama, Pengarah Bahagian Pelancongan Almaty, Shazly Azwi, kali pertama menyambut 1 Syawal di Kazakhstan, sememangnya amat berbeza dengan sambutan di tanah air, biarpun majoriti penduduk negara itu beragama Islam.
"Rata-rata masyarakat di sini seperti biasa sahaja, tidak ada rasa atau suasana Aidilfitri melainkan kalau di rumah sendiri, kita hidang dan makan masakan Malaysia.
"Sudah tentu kami semua amat merindui sanak saudara di Malaysia tetapi kami di sini menjalankan tugas.
"Ada juga beraya sesama sendiri dengan rakan-rakan dari Malaysia, tetapi secara keseluruhannya suasana di sini kurang meriah," ujarnya.