Raya ini, Ampang Park dah tiada ...

Wan Syamsul Amly
Jun 11, 2018 12:52 MYT
Sedar tak sedar, sebenarnya hari raya kali ini merupakan kali pertama rakyat 'kehilangan' kompleks Ampang Park. - Gambar Astro AWANI / Shahir Omar
TRADISI membeli-belah menjelang perayaan sebenarnya sangat sebati dalam diri warga kota malah seluruh rakyat negara ini.
Ia seolah-olah satu kewajipan yang tidak boleh tidak dilakukan semua lebih-lebih lagi Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan hari kemenangan selepas sebulan menahan lapar dan dahaga kerana berpuasa.
Rakyat negara ini juga seakan-akan tidak boleh tidak untuk memenuhi setiap kompleks beli-belah yang ada di ibu kota dan pinggir kota untuk membeli sehelai dua baju raya kepada diri sendiri dan anggota keluarga yang lain. Tidak keterlaluan boleh dikata seperti semut menghurung gula.
Antara tempat tumpuan kali ini adalah di Mood Republic (KL Raya Fest) yang bermula 8 Jun hingga 11 Jun dan berlangsung selama 72 jam tanpa henti.
Tahun ini sahaja, seramai 97 selebriti antaranya Yana Samsudin, Zain Saidin, Emma Maembong, Ziana Zain, Fazura dan Elfira Loy menyertai festival itu.
Selain itu, lokasi menarik yang turut menjadi tumpuan adalah di kawasan Bangi Sentral yang menjadi lokasi rakyat mencari fesyen terkini selain sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman yang menjadi kawasan tumpuan sejak sekian lama.
Itu tidak termasuk kompleks membeli belah serta butik-butik fesyen seperti yang terdapat di KLCC, Pavilion, MidValley Megamall serta banyak lagi lokasi yang boleh didapati di enjin carian Google sendiri.
Kompleks yang dilupakan
Sedar tak sedar, sebenarnya hari raya kali ini merupakan kali pertama rakyat 'kehilangan' kompleks Ampang Park.
Kompleks empat tingkat yang siap dibina pada tahun 1973 lalu kini sedang rancak dirobohkan untuk memudahkan pemilik baharunya membina Ampang Park Mass Rapid Transit (MRT) Station (stesyen MRT) di bawah tanah yang kemudian disepadukan dengan perkhidmatan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan perkhidmatan Light Rail Transit (LRT) Kelana Jaya.
Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar di kompleks Ampang Park sebelum bangunan itu ditutup pada awal tahun. - Gambar ASTRO AWANI/SHAHIR OMAR
Terdapat 253 hakmilik strata dalam bangunan kompleks Ampang Park yang majoritinya kini tidak tahu ke mana pergi mereka.
Mungkin beberapa pemilik premis lama seperti kedai makan, Cozy Corner yang menjadi antara mercu tanda terkenal di Ampang Park dahulu sedia maklum sudah memulakan perniagaan baru mereka di Ampang Point.
Selain itu, kita sendiri sudah kehilangan jejak ke mana mereka pergi.
GALERI FOTO: Ampang Park kini tinggal kenangan
Jauh di sudut hati orang-orang lama ibu kota, mereka sebenarnya masih merindukan suasana membeli belah di Ampang Park, mereka teringat-ingat perbualan dengan pemilik kedai jahit lama, kedai muzik, salon rambut malah deretan kedai yang menjual baju kurung serta kebaya di tingkat bawah kompleks itu sendiri.
Selepas kelahirannya pada 15 Mac 1973, bangunan itu sebenarnya tidak pernah sunyi daripada pengunjung tetapnya.
Sejak dari awal 1970-an, ia terus membangun dan menjadi sebuah kompleks tersohor di ibu kota serta lokasi impian untuk pengunjung dari kampung yang tiba ke Kuala Lumpur.
Pada masa itu, nama Ampang Park dilihat begitu gah dan menjadi siulan remaja seawal tahun 1980-an.
Katakan sahaja daripada keperluan harian sehingga pakaian suit bertaraf menteri, semuanya boleh didapati di sini.
Itu tidak termasuk pusat hiburan serta salon yang tidak putus-putus dikunjungi pelanggan saban hari sehingga larut malam pada setiap hari.
Ampang Park yang mula beroperasi pada 1973 sudah mula dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Stesen MRT Ampang Park. - Gambar Wikipedia / Azreey
Realitinya di sini, kebanyakan pelanggan adalah orang lama yang sudah terlalu biasa dengan setiap pemilik-pemilik premis di Ampang Park.
Namun, peredaran masa juga menyaksikan Ampang Park terkubur di tapak gah yang pernah menjadi kebanggan rakyat negara ini.
Tiada siapa boleh menafikan Ampang Park sebagai pusat membeli belah pertama di ibukota.
Tidak ada seorang boleh mempertikaikan kehebatannya satu masa dahulu namun sudah menjadi kenangan yang tersemat di hati mereka yang mahu menghargainya.
Slogan Ampang Park 'Di mana semua orang mengenali anda' sudah masuk ke dalam lipatan sejarah.
Benar kata pepatah, 'tak kenal maka tak cinta', cinta kepada suasana membeli-belah menjelang hari raya di Ampang Park hanya dirasai kepada mereka yang mengenalinya.
Rindu Ampang Park
Kerinduan kepada Ampang Park sebenarnya turut diluah netizen, ada yang turut dikatakan 'merajuk' dan tidak membeli baju raya kerana kehilangan kompleks beli-belah penuh bersejarah itu.
Sejak ia dimula ditutup pada awal tahun sehingga kini, netizen tidak pernah lepas menyatakan rasa ingatan kepada bangunan itu.
Perkembangan runtuhan juga sentiasa menjadi berita di laman sosial masing-masing malah tetap berkongsi sebarang kenangan mereka di Ampang Park.
Terimalah, seperti bercerai mati, Ampang Park sudah masuk di dalam lembaran sejarah dan pasti tidak akan hidup kembali.

* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Aidilfitri #Ampang Park #Bangi Sentral #KLCC #Mood Republic #MRT #Pavilion
;