Raya adalah hari untuk bergembira, tiada ruang untuk berpolitik

Muzaffar Syah Mallow
Jun 5, 2019 09:39 MYT
Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan sambutan bagi meraikan kejayaan bagi orang yang telah melaksanakan ibadah berpuasa.
BULAN Ramadan Al-Mubarak sudah pun sampai ke penghujungnya kini Syawal ataupun sambutan Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba.
Rata-rata ramai umat Islam khususnya yang berada dalam negara kita sudah pun memulakan perjalanan masing-masing untuk pulang ke kampung halaman bagi menziarah kaum keluarga serta sahabat handai.
Salah satu keunikan yang ada setiap kali munculnya sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah ia dapat memberi banyak ruang dan peluang kepada semua pihak untuk berehat sambil menziarah sanak saudara serta kenalan yang sudah lama tidak dikunjungi serta untuk ditanya khabar berita.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan sambutan bagi meraikan kejayaan bagi orang yang telah melaksanakan ibadah yang dituntut sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak yang lalu iaitu ibadah berpuasa daripada makan dan minum dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari serta menahan diri daripada melakukan sebarang perkara yang boleh mengurangkan serta membatalkan terus ibadah berpuasa.
Setelah berpenat lelah melakukan segala amal ibadah yang dituntut sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak yang lalu, kita telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan sebuah sambutan bagi meraikan kejayaan yang telah dikecapi pada bulan Ramadan Al-Mubarak yang lalu iaitu dengan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Umat Islam perlu menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri ini dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan.
Namun, cara umat Islam menyambut kesyukuran dan kegembiraan ini sudah pasti berbeza dari cara orang bukan Islam dalam menyambut perayaan mereka.
Umat Islam ada adab sopan dan peraturan tertentu yang perlu dipatuhi sebagaimana kita menjalani hari-hari yang lain.
Dalam kita menyambut kedatangan 1 Syawal, umat Islam diminta mensyukuri segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada mereka serta mengamalkan sikap yang berserderhana dalam menyambut Aidilfitri.
Umat Islam juga disaran mengisi hari lebaran terbabit dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan faedah dan manfaat kepada diri mereka serta kepada orang sekeliling.
Umat Islam tidak boleh mengisi masa yang berharga dihari lebaran ini dengan perkara yang sia-sia serta dengan perkara yang boleh membawa kepada pergaduhan dan permusuhan antara satu sama lain.
Hari Raya Aidilfitri adalah hari untuk umat Islam saling bertemu serta untuk saling bermaaf-maafan dan yang paling utama untuk menjalin hubungan silaturrahim yang telah terputus.
Segala kebaikan yang boleh dibawa melalui kedatangan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya sekiranya kita membawa isu-isu atau perkara yang tidak membawa faedah serta perkara yang boleh mencetuskan konflik dalam menyambut hari lebaran terbabit.
Antara isu atau perkara yang boleh membawa kepada masalah kepada perhubungan sesama kita ialah isu atau perkara yang membabitkan soal politik.
Tidak dapat dinafikan, negara kita telah menyaksikan perubahan drastik terhadap landskap politiknya semenjak tamatnya proses Pilihanraya Umum Kali ke-14 (PRU14) pada tahun yang lalu.
Perubahan landskap politik dalam negara kita semenjak negara kita mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 sudah pasti mengundang rasa terkejut serta kekok kepada ramai pihak khususnya pada pihak yang sudah biasa dengan keadaan politik lama selama ini.
Oleh sebab itu, isu atau perkara yang melibatkan politik ini boleh menjadi satu isu sensitif yang perlu dikawal dengan sebaik-baiknya oleh kita semua.
Jika isu atau perkara yang berkaitan dengan politik ini menjadi bahan perbincangan utama ketika kita melakukan proses ziarah menziarah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, adalah dibimbangi ia boleh mengundang kepada perasaan kurang senang serta boleh juga menjerumus kepada perkara yang tidak diingini.
Tidak kira semenarik mana pun cerita politik yang dilemparkan terhadap kita melalui media massa, fokus terhadap isu atau perkara yang melibatkan politik harus lah dielakkan bagi membendung sebarang perasaan tidak puas hati mana-mana pihak.
Perlu diketahui, setiap orang mempunyai pendapat serta pemikiran masing-masing mengenai segala isu politik semasa yang berlaku sekitar kita. Sekiranya sebarang percakapan tidak dikawal dengan sebaiknya, ia boleh mengundang perasaan marah, tidak puas hati hingga boleh membawa kepada pergaduhan dan konflik berpanjangan antara keluarga serta sahabat handai.
Secara tidak langsung ia juga boleh memberi contoh yang tidak baik kepada generasi muda yang ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan suasana penuh kesyukuran dan kegembiraan.
Sekiranya ini berlaku, maka sia-sialah segala amal ibadah yang telah dibuat sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak yang lalu serta sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dinanti-nantikan selama ini.
Kita perlu gunakan segala ruang dan peluang yang ada sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk bertanya khabar berita dan bercerita mengenai isu-isu yang dapat lebih memberi manfaat serta yang dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan persabahatan bukannya sibuk membicarakan hal-hal politik yang boleh mengundang risiko kepada perbalahan dan konflik sesama kita.

*Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.

#Aidilfitri #Islam #politik #Ramadan #syawal #umat
;