Rawatan kepada rakyat Palestin turut tumpu aspek psikologi

Madiha Abdullah
September 5, 2024 12:10 MYT
Zulkeffeli berkata jalinan kerjasama dengan Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur banyak membantu dalam aspek komunikasi. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pesakit warga Palestin yang dibawa untuk menerima rawatan di Malaysia tidak hanya diberi perhatian dalam aspek kesihatan fizikal, tetapi juga psikologi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, jalinan kerjasama dengan Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur banyak membantu dalam aspek komunikasi dan memberi keselesaan kepada pesakit, sekali gus memudahkan urusan rawatan.
Jelasnya, biarpun terdapat cabaran dalam misi tersebut, beliau menganggap ia bukan perkara besar, apatah lagi dalam keadaan pesakit yang dirawat telah melalui situasi yang jauh lebih sukar.
“Apa yang penting di sini ialah memastikan mereka tidak lagi tertekan.
“Alhamdulillah, berdasarkan lawatan atau perbincangan yang kita buat dengan pesakit, semakin hari mereka semakin selesa dan tidak timbul lagi kebimbangan,” katanya.
Tambahnya, ATM tidak berdepan masalah besar kerana mereka juga sudah melakukan persediaan yang rapi sebelum menerima kehadiran para pesakit.
“Dari awal kita sudah bersedia tentang jenis perawatan yang kita bakal laksanakan melalui pemilihan pesakit yang kita buat sebelum mereka sampai ke sini.
“Ini memudahkan terutama dari segi lantikan doktor pakar dan hubungan kerjasama dengan pusat perubatan yang lain,”katanya lagi.
Katanya, pemilihan pesakit untuk dibawa menerima rawatan di sini adalah berdasarkan beberapa kriteria, dan fit to fly atau mampu melalui tempoh penerbangan merupakan salah satu kriteria utama.
Ini bagi memastikan pesakit dapat dibawa dengan selamat ke Malaysia tanpa komplikasi serius.
Jelasnya lagi, pihaknya berbesar hati apabila wakil kedutaan yang hadir bertemu pesakit, meluahkan penghargaan terhadap rawatan dan layanan baik yang diterima warganya.
“Pihak kedutaan memang menyatakan mereka amat berpuas hati dan amat menghargai usaha dan ikhtiar daripada kerajaan Malaysia yang membawa mereka ke sini untuk dirawat dengan sempurna berdasarkan kecederaan yang mereka alami,”ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena kunjungan media ke Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tuanku Mizan (HATM), pada Selasa.
Dalam sesi itu, media dibawa bertemu dengan beberapa pesakit, selain turut diberikan taklimat mengenai perkembangan rawatan mereka.
Selain petugas kesihatan, pesakit turut dibantu empat penterjemah bahasa dari ATM yang membantu memudahkan urusan rawatan.
Seramai 41 warga Palestin sedang menerima rawatan di hospital itu sejak tiga minggu lalu, termasuk 22 kanak-kanak.
Majoriti daripada mereka dirawat akibat kecederaan ortopedik, iaitu seramai 22 orang.
Misi itu turut membabitkan kerjasama dengan pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
#Palestin #Angkatan Tentera Malaysia #ATM
;