Rawat rakyat Palestin: 'Bukan kali pertama Malaysia bantu rakyat negara lain' - Saifuddin

Abdul Hadi Che Awang
Ogos 19, 2024 15:40 MYT
Saifuddin Nasution berkata, mereka yang terlibat dihantar pulang ke negara asal masing-masing sebaik sahaja konflik selesai atau dihantar ke negara-negara yang menerima kemasukan pelarian. - Gambar/ Bernama
JITRA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan langkah seperti membawa rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis mendapatkan perlindungan di Malaysia bukan kali pertama dilakukan.
Menurutnya, bantuan serupa telah diberikan sebelum ini membabitkan rakyat beberapa negara termasuk Vietnam, Afganistan dan Bosnia-Herzegovina sekali gus menjadi bukti keprihatinan Malaysia dalam menghulurkan bantuan membabitkan pergolakan di peringkat antarabangsa.
Katanya, mereka yang terlibat dihantar pulang ke negara asal masing-masing sebaik sahaja konflik selesai atau dihantar ke negara-negara yang menerima kemasukan pelarian.
"Jadi kesimpulannya, Vietnam, Afghanistan, Bosnia Herzegovina dan sekarang ini Gaza (Malaysia bantu).
"Ini boleh mengesahkan satu perkara sahaja, iaitu Malaysia, tatkala sesebuah negara itu menghadapi ujian dan ketidaktentuan yang membawa kepada kehilangan nyawa dan harta benda... kita negara (yang) rekodnya boleh berbicara dengan sendiri, bagaimana kita mainkan peranan kita dengan sangat berkesan di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kedah 2024 di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra, pada Isnin.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menyatakan langkah yang diambil kerajaan dalam menerima kemasukan rakyat Palestin bagi rawatan adalah kerana bersimpati dengan nasib mereka akibat kekejaman Israel.
Pada Jumaat, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan kesemua 41 pesakit rakyat Palestin yang diterbangkan ke Malaysia ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Jelasnya, ketika ini mereka ditempatkan sementara di Hangar Nombor 16 Skuadron, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dijadikan sebagai hospital mini.
Sebelum itu, dua pesawat pengangkut TUDM Airbus A-400M yang membawa rakyat Palestin itu mendarat Pangkalan Udara TUDM kira-kira jam 2 petang dan 2.15 petang.
#Saifuddin Nasution #rakyat Palestin #Malaysia #pesawat TUDM
;