Ravichandran, Adelinah berdepan misi tawan puncak Everest April ini
Bernama
Februari 25, 2022 05:09 MYT
Februari 25, 2022 05:09 MYT
KOTA KINABALU: Pendaki negara T.Ravichandran yang berjaya menakluk puncak Gunung Everest pada 2006, akan cuba mengulangi pencapaian itu, kali ini bersama pendaki wanita dari Sabah Adelinah Lintanga, pada April ini.
Ravichandran, 57, berkata program pendakian 'Keluarga Malaysia-Everest Expedition 2022, Journey To The Top By Sabahan' itu akan bermula pada 24 Mac ini.
Beliau berkata persediaan untuk ekspedisi itu berjalan lancar dan mereka telah menjalani banyak latihan sebelum ini, termasuklah mendaki Gunung Kinabalu.
"Pada 24 Mac kita akan bertolak ke Nepal untuk menjalani latihan akhir selama tiga minggu sebelum memulakan pendakian ke puncak Gunung Everest pada 15 April depan, oleh itu saya berharap program ini mendapat sokongan daripada kerajaan Sabah dan semua rakyat negeri ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran program tersebut oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Sementara itu, Jeffrey berkata ini adalah kali pertama pendaki dari Sabah akan cuba menawan puncak gunung tertinggi dunia itu dan beliau amat berbangga dengan usaha tersebut.
"Saya yakin program ini (bakal) berjalan lancar dan Adelinah (akan) berjaya meletakkan bendera Sabah di puncak gunung itu," katanya yang percaya Ravichandran dapat membimbing Adelinah, 35, dalam menjayakan misi tersebut.
-- BERNAMA