Ratusan warga asing banjiri PPV KLCC, cetus keresahan orang ramai

Fareez Azman
Julai 28, 2021 21:24 MYT
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, kejadian berlaku apabila majikan menghantar pekerja mereka terlalu awal ke PPV. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ratusan warga asing membanjiri perkarangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada petang Rabu.
Video suasana di luar perkarangan PPV itu tular di laman sosial dan mengundang kegusaran dalam kalangan warga maya terutama ketika negara mencatatkan kes positif harian COVID-19 tertinggi hari ini.
Astro AWANI membuat pemerhatian pada petang tadi dan mendapati rata-rata mereka adalah warga asing yang beratur untuk mendapatkan vaksinasi.
Turut kelihatan anggota polis bagi memastikan setiap warga asing mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, kejadian berlaku apabila majikan menghantar pekerja mereka terlalu awal ke PPV.
Ia menyebabkan kesesakan berlaku sekali gus mengundang keresahan orang ramai.
AWANI Ringkas: Ratusan warga asing banjiri PPV KLCC
"Mohon majikan tidak menghantar pekerja terlalu awal ke PPV yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan.
"Ramai pekerja warga asing dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan akan dihantar ke PPV KLCC. Mohon patuhi janji temu," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.
Bagaimanapun, Astro AWANI masih menunggu sebarang makluman daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) berhubung perkara itu.

Ini pula pemerhatian Astro Awani petang tadi. Boleh dilihat ramai orang beratur di luar PPV KLCC. Apa sebenarnya berlaku? Kami masih lagi menanti sebarang makluman dari pihak berwajib. @501Awani #AWANInews pic.twitter.com/s8TJBIr4Hg

— Fareez Azman (@FareezAzmann) July 28, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Astro Awani #COVID-19 #Kuala Lumpur #Negeri Sembilan #PPV #Pusat Pemberian Vaksin #vaksin #SOP #warga asing #video #laman sosial #PPV KLCC #CITF #PDRM
;