Ratusan penyokong banjiri KKIA sambut Musa Aman

Fifi Harteeny Marzuki
November 7, 2018 14:18 MYT
Petang ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan membuat keputusan mengenai saman Musa yang mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu. - Foto Astro AWANI/Fifi Harteeny Marzuki
Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.55 tengah hari selepas beberapa bulan berada di ibu negara.
Ketibaan Musa disambut ratusan penyokongnya termasuk pemimpin politik pembangkang di Sabah dari UMNO Sabah dan Parti Bersatu Sabah serta pemimpin dari Gabungan Bersatu Sabah (GBS) yang mula berkumpul di KKIA seawal jam 11 pagi.
Petang ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan membuat keputusan mengenai saman Musa yang mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Bagaimanapun belum dapat dipastikan sama ada Musa akan menghadiri prosiding mahkamah berkenaan atau sebaliknya.

Tan Sri Musa Aman keluar dari balai ketibaan pada jam 1.15 tengah hari tadi dan disambut meriah oleh penyokongnya. @501Awani pic.twitter.com/3sxVN0xtHX

— Fifi Harteeny AWANI (@fifiHarteeny) November 7, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Isnin lalu, Musa didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 35 pertuduhan rasuah berkaitan kontrak konsesi balak berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313) dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM2 juta.
Hakim Rozina Ayob mengarahkan Musa, 67 tahun, membayar RM1 juta pada Isnin dan RM1 juta lagi pada hari ini (Rabu) dan menyerahkan satu pasport diplomatik dan satu pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Astro AWANI akan terus mendapatkan perkembangan mengenai kes itu dari semasa ke semasa.
#Ketua Menteri #mahkamah #Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu #Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #PBS #pembangkang #politik #Rasuah #saman #Shafie Apdal #UMNO
;