Ratusan peguam berhimpun, serah memorandum tuntut badan kehakiman bebas
Fareez Azman
Jun 17, 2022 15:09 MYT
Jun 17, 2022 15:09 MYT
KUALA LUMPUR: Ratusan peguam berhimpun menyertai perhimpunan aman ‘Walk For Judicial Independence’ (Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman) anjuran Badan Peguam Malaysia pada Jumaat bagi menuntut kebebasan institusi itu dari campur tangan luar.
Perhimpunan bermula kira-kira jam 9.00 pagi di Padang Merbok di ibu negara sebelum peserta mula berjalan menuju ke Bangunan Parlimen seperti dijadualkan.
Bagaimanapun, laluan utama ditutup oleh pihak berkuasa memaksa peserta terus berhimpun di tempat letak kereta Padang Merbok.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, rata-rata peserta mengenakan sut hitam putih.
Presiden Majlis Peguam Karen Cheah selaku penganjur perhimpunan dalam ucapannya turut menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap seorang hakim.
"Rakan-rakan semua, pada 27 Mei tahun ini Badan Peguam Malaysia telah mengadakan mesyuarat luar biasa, kita telah bersetuju untuk mengecam tindakan SPRM yang secara jelas telah umumkan sedang menjalankan siasatan terhadap seorang hakim dan menyebut nama hakim tersebut.
"Majlis Peguam menyifatkan tindakan ini sebagai ugutan terhadap badan kehakiman. Adakah anda setuju?.
"Apa sahaja siasatan yang dijalankan terhadap hakim yang bertugas perlu dijalankan dengan tertib dan tidak menghakis kebebasan badan kehakiman," katanya.
Justeru, perhimpunan itu jelas Cheah, sebagai isyarat jelas menuntut agar badan kehakiman terus bebas daripada mana-mana pihak.
"Kita berkumpul hari ini sebab kita mahu menunjukkan kepada negara bahawa kami mengecam tindakan SPRM.
"Kita mahu setiap hakim berada dalam suasana dimana mereka boleh melaksanakan tugas mereka sebagai hakim tanpa rasa takut atau memihak kepada sesiapa.
"Jadi Badan Kehakiman terus bebas dan rakyat yakin dalam sistem perundangan negara," katanya lagi.
Dalam perhimpunan itu, Majlis Peguam turut menyerahkan memorandum terhadap kerajaan.
Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin kira-kira jam 11.15 pagi.
Tegas Cheah, memorandum terbabit antara lain mengandungi empat tuntutan agar badan kehakiman di negara ini terus bebas.
"Pertama, kita mahukan Badan Kehakiman terus bebas, kerajaan perlu terus memastikan badan ini bebas.
"Kedua, kita mahu kerajaan untuk memelihara keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.
"Ketiga, kita mahu mengecam tindakan SPRM, dan yang terakhir kita mahu pembaharuan perundangan dalam meletakkan parameter agar apa sahaja dakwaan terhadap hakim boleh dilakukan dengan tertib dan tidak menghakis kepercayaan terhadap sistem kehakiman," katanya lagi.
Perhimpunan yang berlangsung selama lebih tiga jam itu turut dihadiri bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan.
April lalu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat memberi reaksi berhubung siasatan itu dan memaklumkan kritikan terhadap badan kehakiman sudah melampaui batas.