Ratusan kenderaan terkandas di Lebuh Raya Persekutuan menuju Shah Alam
Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 18, 2021 00:34 MYT
Disember 18, 2021 00:34 MYT
SHAH ALAM : Pengguna Lebuh Raya Persekutuan dari Kuala Lumpur menghala ke Shah Alam diarahkan berpatah balik apabila laluan berhampiran Batu Tiga di sini, dinaiki air, hari ini.
Sebahagian pengguna laluan berkenaan akur dan berpatah balik ke arah Kuala Lumpur, namun ramai juga yang terpaksa menunggu disebabkan tiada pilihan kerana difahamkan laluan lain menuju ke Shah Alam dan Klang turut ditenggelami air.
Tinjauan Astro AWANI di laluan berkenaan lewat malam ini mendapati terdapat ratusan kenderaan masih terkandas di kawasan itu, malah ada yang berada di situ sejak jam 3 petang.
Menurut seorang pengguna, Azman Mohammad 30, dia dan rakannya terkandas sejak jam 3.30 petang ketika menuju ke Meru, Klang untuk pulang ke rumahnya.
"Tadi petang kalau ikutkan lagi lebat hujan. Sekarang dah kira kurang namun kami tak boleh buat apa-apa kerana paras air depan tu tak turun.
"Kawan-kawan kami yang lain turut memaklumkan laluan lain menuju ke Klang turut dinaiki air jadi kami tiada pilihan melainkan tunggu sahaja di sini," katanya.
Selain kereta dan motosikal kenderaan berat juga tidak dibenarkan melalui laluan berkenaan kerana paras air terlalu tinggi.
Tinjauan mendapati, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini dan melancarkan aliran trafik, pihak berkuasa membuka pembahagi jalan bagi membolehkan kenderaan berpatah balik.