Ratu Elizabeth II, Tunku Abdul Rahman jalin hubungan yang baik - Kenang anak saudara Tunku
Bernama
September 12, 2022 17:40 MYT
September 12, 2022 17:40 MYT
KUALA LUMPUR: Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mempunyai hubungan baik dengan Ratu Elizabeth II di Britain, kenang anak saudaranya Tunku Sofiah Jewa.
Pada satu ketika, baginda secara peribadi menghidangkan sepotong kek dari pantri ketika Tunku mengadap secara peribadi Ratu dan Duke of Edinburgh di Istana Buckingham, United Kingdom.
Tunku sendiri telah menghadiahkan sesisir pisang emas kepada Ratu, yang amat digemari baginda.
"Dan beliau (Tunku) akan sentiasa mengirim orkid segar kepada Ratu pada sambutan ulang tahun kelahiran baginda.
"Begitulah hubungan baik yang telah dijalin oleh bapa saudara saya dengan para pemimpin dunia pada zamannya terutama dengan Ratu England, Ratu Elizabeth II.
"Rakyat Malaysia turut berdukacita dengan kemangkatan Ratu," kata Tunku Sofiah dalam satu kenyataan yang disediakan kepada Bernama melalui WhatsApp.
Ratu Elizabeth II, paling lama menduduki tahkta di United Kingdom, mangkat pada Khamis di kediaman musim panasnya di Istana Balmoral di Scotland pada usia 96 tahun selepas 70 tahun memerintah.
Pada Selasa, keranda Ratu akan dibawa ke Lapangan Terbang Edinburgh dan akan diterbangkan ke London.
Jenazah baginda kemudiannya akan ditempatkan di Dewan Westminster untuk orang ramai memberi penghormatan terakhir sehingga upacara pemakaman negara pada 19 Sept.
Menceritakan lanjut, Tunku Sofiah berkata, pada satu ketika pada 1969, bapa saudaranya itu memutuskan tidak menghadiri Persidangan Perdana Menteri Komanwel di London kerana abang iparnya, Tun Syed Sheh Shahabuddin, Gabenor Pulau Pinang ketika itu, sakit tenat.
Ratu, bagaimanapun mengarahkan Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur pada masa itu, Sir Michael Walker, untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan kehadiran Tunku kerana baginda berhasrat melihat beliau duduk betul-betul di sebelah baginda semasa sesi bergambar berkumpulan di Istana Buckingham.
Menurut Tunku Sofiah, Sir Michael Walker juga diminta menyelaraskan dengan British Overseas Airways Corporation (BOAC) agar penerbangan dari Singapura ke London dapat melakukan pendaratan khas di Lapangan Terbang Subang untuk mengambil Tunku jika beliau dapat hadir.
"Tarikh dan masa pesawat itu akan berada di Subang juga disebut," kata Tunku Sofiah.
Tunku Sofiah berkata, Tunku pada mulanya teragak-agak untuk menghadiri persidangan itu, tetapi memutuskan untuk pergi selepas dimaklumkan bahawa keadaan Syed Sheh tidak lagi kritikal dan semakin pulih.
"Dengan itu, foto berkumpulan Perdana Menteri Komanwel yang diambil menyaksikan bapa saudara saya duduk di sebelah kanan Ratu. Ia sememangnya satu penghormatan untuk bapa saudara saya," tambahnya.
- BERNAMA