Ratu Elizabeth II mangkat: Sultan Selangor berkenan bendera Negeri Selangor dikibar separuh tiang

Astro Awani
September 15, 2022 10:59 MYT
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar bendera Negeri Selangor dikibarkan separuh tiang bermula Sabtu hingga Isnin ini. Gambar fail
KUALA LUMPUR : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar bendera Negeri Selangor dikibarkan separuh tiang bermula Sabtu hingga Isnin ini.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, ia bagi menzahirkan hubungan baik baginda dengan Ratu Elizabeth II dan sebagai tanda menghormati kemangkatan monarki Britain itu pada 9 September lalu.
Ratu Elizabeth II
"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat pada 14 September lalu telah menjunjung titah dan mengarahkan semua jabatan dan agensi di Negeri Selangor mengibarkan bendera Negeri Selangor separuh tiang atas perkenan Baginda Sultan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Titah tersebut juga katanya, adalah sebagai tanda menghormati kemangkatan Ratu di Istana Balmoral selepas 70 tahun menaiki takhta dan menjadi monarki paling lama bertakhta dalam sejarah United Kingdom.
Ketika ini, ribuan rakyat memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II di Westminster Hall dan jasad mendiang akan berada di situ sehingga hari pemakaman Isnin depan.
BACA: Jasad Ratu Elizabeth II ditempatkan di Westminster Hall empat hari sebelum pemakaman
#Ratu Elizabeth II #Sultan Selangor #hormat #bendera separuh tiang
;