Ratu Elizabeth II mangkat: Perak kibar bendera separuh tiang tiga hari

Abd Razak Mohd Ali
September 16, 2022 15:56 MYT
Perkara itu dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas semangat menghargai hubungan Ratu Elizabeth II dengan Istana dan Negeri Perak Darul Ridzuan. - REUTERS
IPOH: Perak akan mengibarkan bendera separuh tiang di seluruh negeri itu, selama tiga hari, bermula Sabtu, sempena kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, perkara itu dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas semangat menghargai hubungan Ratu Elizabeth II dengan Istana dan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Katanya, ia juga sebagai tanda menzahirkan rasa dukacita atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
“Menjunjung titah tersebut, bendera Negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah dikibarkan separuh tiang bermula hari Sabtu 17 September 2022 sehingga selesai istiadat permakaman Ratu Elizabeth pada hari Isnin 19 September 2022,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ratu Elizabeth II mangkat pada 8 September lepas, pada usia 96 tahun.
Susulan itu, putera sulung dalam kalangan empat anak baginda, Putera Charles diangkat sebagai raja dan dikenali sebagai Raja Charles III.
Ratu Elizabeth II akan dimakamkan pada 19 Sept di St George’s Chapel, Windsor, sementara istiadat pengebumian baginda dibuat dengan penuh istiadat di bawah protokol ‘London Bridge Is Down’ di Westminster Abbey, London.
#Ratu Elizabeth II #dikibar separuh tiang #Sultan Perak #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
;