Ratu Ayam cecah RM35,000
Astro Awani
Januari 27, 2018 14:47 MYT
Januari 27, 2018 14:47 MYT
Pertandingan ratu cantik bukan sahaja terhad kepada golongan wanita.
Kini pelbagai jenis haiwan juga dipertandingkan kecantikannya, termasuk Ayam Baik atau Ayam Sabung bagi mencari ayam tercantik atau Ratu Ayam dalam kalangan haiwan itu.
Di Kelantan, satu pertandingan Ratu Ayam diadakan yang disertai lebih 52 ekor ayam dari sekitar Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Menurut penganjur, Kelab Ayam Ratu Kelantan (KARAK), Kamaruzzaman Karak, pertandingan Ratu Ayam Pantai Timur yang julung kali diadakan ini bertujuan menghimpunkan penggemar, penternak dan Penyabung Ayam seluruh Pantai Timur.
Selain mencari alternatif baru supaya golongan penggemar Ayam Baik atau Ayam Sabung tidak lagi terlibat dalam aktiviti menyabung ayam, pertandingan ini juga diharap dapat memberi peluang kepada golongan terlibat mempersembahkan ayam terbaik mereka.
Tambah Kamaruzzaman lagi, Ratu Ayam yang dipertandingkan melibatkan kategori ayam dari 3 hingga 3.5 kilogram.
“Lima ciri ayam dilihat oleh juri berpengalaman, iaitu paruhnya, balun, bahu yang menonjol, bulu, lutut dan kaki.
"Sekiranya ayam itu menepati ciri-ciri berkenaan dan beratnya dari 3 hingga 3.5 kilogram, maka ia akan dinobatkan sebagai Ratu Ayam Pantai Timur,” katanya kepada Astro AWANI semasa anjuran pertandingan Ratu Ayam diadakan di sini, hari ini.
Katanya Ratu Ayam ini boleh mencecah harga RM35,000 seekor manakala anak ayam dari bakanya yang berusia tiga bulan ke atas, boleh dijual antara RM300 hingga RM400 seekor.
Penjagaan ayam tersebut pula menelan belanja antara RM150 hingga RM200 sebulan.
Ini termasuk ubatan seperti minyak ikan, vitamin dan nasi terpilih selain dimandikan setiap hari.
“Maksud ayam Ratu di sini bukannya ayam betina. Asalkan ayam itu cantik dan menepati ciri-ciri yang ditetapkan, biarpun jantan atau betina, ia akan digelar ayam Ratu," katanya lagi.
Di Kelantan dan Terengganu, kebiasaannya ayam baik ini digunakan untuk aktiviti sabung atau belaga ayam yang telah diharamkan oleh pihak berkuasa serta kerajaan.