Rasuah: Tiga polis tidak mengaku bersalah
Astro Awani
November 20, 2017 11:11 MYT
November 20, 2017 11:11 MYT
Tiga anggota polis berpangkat Lans Koperal tugas am dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah secara bersama pada tahun lalu.
Kesemua tertuduh - Lans Koperal Azizan Mohamad, Mohamad Aiman Najmi Sahran dan Abdul Manan Abdul Satar - bagaimanapun tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.
Mereka didakwa melakukan pertuduhan pertama pada 9 Oktober tahun lalu pada jam 1 pagi di hadapan sebuah bank di Plentong.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Alam telah meminta suapan bernilai RM5,000 dari seorang awam.
Jumlah itu sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung hal prinsipal, iaitu melepaskan dua orang awam yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah.
Bagi pertuduhan kedua pula, kesemua tertuduh didakwa telah menerima rasuah bernilai RM2,250 pada hari sama jam 4.50 pagi dari orang awam sama atas dorongan yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17 (a) akta sama, serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, dibaca sekali dengan seksyen 34 kanun keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan.
Manakala Azizan diwakili peguam Rosli Kamaruddin dan dua lagi tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Mohd Ghazaly.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan kes ditetapkan pada 9 Januari tahun depan.
Azizan telah berkhidmat selama 11 tahun dengan Polis Diraja Malaysia dan masih bertugas sebagai penjawat awam manakala Mohamad Aiman Najmi dan Abdul Manan sudah digantung tugas.