Rasuah: SPRM sahkan KSU yang ditahan dari KKLW
Harits Asyraf Hasnan
Januari 4, 2017 20:01 MYT
Januari 4, 2017 20:01 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan individu berpangkat Ketua Setiausaha (KSU) yang ditahan pagi tadi dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki enggan mengulas lanjut tugas individu terlibat dalam kementerian itu.
"Ya, benar. Beliau masih lagi bertugas di kementerian ini (KKLW). Namun demikian, saya tidak mahu mengulas panjang isu tugas beliau di kementerian ini," katanya. ketika temubual eksklusif bersama Astro AWANI 7.45 malam tadi.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata telah menahan dua individu termasuk seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian bergelar Datuk hari ini kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah.
KSU yang berusia 59 tahun dipercayai telah menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.
Beliau ditahan di kediamannya di USJ, Subang Jaya jam 8 pagi tadi.