Rasuah: Sarjan polis tidak mengaku bersalah

Abd Razak Mohd Ali
Julai 13, 2020 03:15 MYT
Mahkamah membenarkan tertuduh (gambar) diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat. - Foto Astro AWANI
Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM1,500, tahun lalu.
Tertuduh, Raja Nur Hasliza Raja Zainal Abidin, 25 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.
Dia dituduh di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana secara rasuah memperolehi suapan wang tunai RM1,500 daripada seorang individu sebagai balasan untuk menghapuskan bukti satu kes judi yang disiasatnya di Balai Polis Kampung Tawas pada 3.11 petang, 10 Julai 2019.
Ketika kejadian, dia dikatakan baru sahaja tiga bulan bertugas sebagai anggota polis.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM yang terdekat.
Mahkamah turut menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud.
#Balai Polis Kampung Tawas #ikat jamin #Ipoh #kes judi #lapor diri #mahkamah #Mahkamah Sesyen #mengaku tidak bersalah #polis #Rasuah #sarjan #Siasat #SPRM #suapan