Rasuah RM20.45 juta: Bekas Pengerusi Mara Inc mengaku tidak bersalah

Astro Awani
Februari 5, 2021 11:57 MYT
Perbicaraan dilakukan di dua Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Mara Inc Datuk Mohammad Lan Allani mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan rasuah dan dua pengubahan wang haram bernilai RM20.45 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melibatkan urusniaga hartanah di Australia.
Pendakwaan dilakukan di dua Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.
Tertuduh didakwa atas 17 pertuduhan menerima suapan, tiga pertuduhan cuba menerima suapan dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, antaranya bagi meluluskan kertas cadangan bertajuk 'Proposed Acquisition of a Student Accommodation Building and a Commercial Retail Block known as Dudley International House, 7-13 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia antara 2012 dan 2013.
Kemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi; antaranya di Solaris Mont Kiara, Maybank Cawangan Mont Kiara, sebuah restoran di Bukit Kiara dan CIMB Bank Jalan Sagunting, Kota Kinabalu.
Pendakwaan dikendalikan Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan seorang bekas pengerusi Mara Inc akan didakwa dengan pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
BACA: Bekas Pengerusi Mara Inc didakwa Jumaat ini, berdepan 22 pertuduhan rasuah
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu memaklumkan individu tersebut telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM, tengah hari Rabu.
"Pendakwaan adalah di bawah Seksyen 16 (a), 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010.
"Datuk berusia 65 tahun dikatakan telah menerima rasuah sebanyak RM33.45 juta hasil pembelian hartanah di Australia oleh Mara Inc," memetik kenyataan yang dikeluarkan SPRM.
Siasatan SPRM berhubung skandal itu bermula setelah pendedahan dibuat portal The Sydney Morning Herald.
Portal itu melaporkan seorang individu rakyat Malaysia yang bermastautin di Australia telah didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai warga asing dan empat lagi tuduhan akaun palsu berkaitan penjualan blok penginapan pelajar Dudley House di Melbourne kepada Mara Inc.
#Bekas Pengerusi Mara Inc #MARA #hartanah di Australia #rasuah pengubahan wang haram #Azam Baki #SPRM #Mohammad Lan Allani
;