Rasuah projek solar: Keputusan rayuan Rosmah bagi semakan kehakiman ditetap 22 Jun
Umavathi Ramayah
Mei 18, 2023 13:19 MYT
Mei 18, 2023 13:19 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Jun ini bagi memutuskan rayuan Datin Seri Rosmah Mansor dalam tindakan sivilnya bagi mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar bernilai RM1.25 bilion.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan mahkamah mempertimbangkan hujahan-hujahan yang dikemukakan kedua-dua pihak selain membaca otoriti perundangan dan rekod rayuan
Selain Hanipah, panel hakim itu turut dianggotai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.
Sekiranya Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan semakan itu, maka kes itu akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.
Terdahulu, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berhujah, ketiga-tiga surat pelantikan (fiat) Sri Ram masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah tidak sah dan tidak munasabah.
Beliau antara lain berhujah, pengisytiharan fiat versi pertama yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 8 Julai 2020 tidak sah di sisi undang-undang.
Hujahnya, fiat itu sepatutnya ditandatangani Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas pada atau sebelum 15 November 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas Rosmah.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili semua responden, Shamsul Bolhassan menghujahkan, permohonan hanya difailkan pada 24 Jun 2022 walhal Rosmah didakwa kali pertama pada 15 November 2018, kelewatan selama kira-kira tiga tahun 10 bulan.
Katanya, undang-undang memperuntukkan semakan kehakiman perlu difailkan dalam tempoh tiga bulan daripada isu berhubung pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, dibangkitkan.
"Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini juga tidak tersalah arah mengikut undang-undang, yang tidak membenarkan lanjutan masa dimohon oleh perayu," katanya.
Sehubungan itu beliau berharap permohonan itu ditolak dengan kos.
Responden berhujah, Rosmah mengambil pendirian dengan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebelum Mahkamah Persekutuan pada 27 Mei lalu memutuskan relif yang sesuai difailkan adalah melalui permohonan sivil.
Pada 30 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan deklarasi Rosmah bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Selain itu, Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib itu turut memohon semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Tan Sri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kesnya.
Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau.
Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Rosmah, 71, memfailkan permohonan itu pada 24 Jun lepas di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.
Beliau memohon satu deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.
Pada 1 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati dirinya bersalah dalam kes rasuah itu, dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.