Rasuah perlu dibanteras dari akar umbi - Hussamuddin
Astro Awani
April 15, 2021 17:21 MYT
April 15, 2021 17:21 MYT
KUALA LUMPUR: Rasuah perlu dibanteras dari akar umbinya kerana ia sudah menjadi masalah kepada masyarakat Malaysia, kata Pengasas Kumpulan Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub.
Hussamuddin menjelaskan rasuah bukan hanya mengambil atau memberi wang tetapi juga salah guna kuasa dan nepotisme yang berlaku dalam masyarakat negara ini.
"Perkara ini perlu dihentikan tetapi kita tidak berani buat apa-apa psala ia sudah ada dalam eko-sistem, ia sudah jadi budaya dalam masyarakat kita.
"Bila berlaku pandemik COVID-19, kita boleh lihat dengan jelas ramai orang lapar, dulu kita tidak nampak perkara ini tetapi negara tidak boleh tolong banyak.
"Sedangkan bila kita bandingkan dengan negara lain, orangnya susah tetapi negara boleh bantu kerana negara mempunyai khazanah yang banyak.
"Kenapa kita tidak ada, kerana tadbir urus salah kita sudah salah, kekayaan negara sudah diurus dengan tidak baik dan punca ini semua adalah kerana rasuah," katanya.
Jelas beliau, sekiranya mahu keadaan ini pulih rasuah perlu dihapuskan dan ia perlu dijadikan musuh yang sama bagi semua masyarakat tanpa mengira kaum.
Hussamuddin juga berpendapat, selama ini ramai yang menyalahkan ahli politik apabila berlakunya rasuah sedangkan ia dimulakan oleh masyarakat itu sendiri.
"Sebenarnya rasuah ini masyarakat ini yang mulakan, oleh kerana saya orang Melayu saya ambil perspektif politik orang Melayu, untuk jadi ketua cawangan, orang di cawangan itu akan minta ketua cawangan itu bayar untuk dapat undi.
"Untuk dia jadi ketua cawangan, dia kena cari duit, cari kontrak dan dia sudah menang, dia mahu jadi ketua bahagian, dia pula kena bayar, jadi prosesnya begitu.
"Kalau kita sudah berhenti minta, dia tidak perlu bayar dan bila dia tidak perlu bayar dia tidak perlu cari," katanya lagi.
Jelasnya, untuk menghapuskan rasuah, masyarakat perlu mempunyai nilai diri iaitu tidak akan menjual undi atau tidak meminta jika ia bukan hak yang sepatutnya.
Hussamuddin turut menegaskan, setiap masyarakat perlu kembali kepada ajaran masing-masing contohnya orang Islam perlu kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah yang mengajar agar tidak menjual undi dan sebagainya.