Rasuah: Penolong pegawai perubatan dipenjara 2 bulan, denda RM17,500

Shuhada Abdul Kadir
September 20, 2021 05:47 MYT
Tertuduh didapati menggunakan kedudukannya dengan memperakukan syarikat Pella Maju Enterprise milik adiknya bagi pembelian peralatan perubatan bernilai RM3,500. - Foto Astro AWANI
MELAKA:

Seorang penolong pegawai perubatan dipenjara dua bulan dan didenda RM17,500 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zamry Yazid, 45, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Zamry yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin didapati menggunakan kedudukannya dengan memperakukan syarikat Pella Maju Enterprise milik adiknya bagi pembelian peralatan perubatan iaitu kertas ultrasound bagi klinik-klinik kesihatan bernilai RM3,500.

Kesalahan dilakukan di PKD Jasin pada 18 Oktober 2018 lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Hakim Elesabet pada penghakimannya mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan bermula hari ini serta denda RM17,500 atau berdepan enam bulan lagi penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat manakala Mohd Zamry diwakili peguam, Mohd Zulfiqri Zakaria.

#Penolong Pegawai perubatan #Rasuah #SPRM #Air Keroh