Rasuah pendaftaran nikah di Thailand: SPRM tak tolak pegawai lebih tinggi terlibat
Abd Razak Mohd Ali
Jun 9, 2024 19:45 MYT
Jun 9, 2024 19:45 MYT
PARIT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan penglibatan pegawai lebih tinggi dalam kes rasuah RM1.18 juta melibatkan urusan pendaftaran perkahwinan pasangan bernikah di Thailand.
Ringkasan AI
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan kemungkinan adanya penglibatan pegawai lebih tinggi dalam kes rasuah RM1.18 juta yang melibatkan urusan pendaftaran perkahwinan di Thailand.
- Akaun bank tiga suspek, termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), akan dibekukan bagi membantu siasatan.
- Siasatan SPRM memberi tumpuan kepada tindakan pasangan terlibat mencari jalan mudah melalui ejen-ejen untuk mendaftar perkahwinan.
Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan akaun bank tiga suspek, termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) akan dibekukan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, pembekuan itu antara lain untuk mengetahui apa yang telah berlaku kepada wang yang masuk kepada akaun-akaun mereka dan ke mana ia telah dibelanjakan.
"Saya tidak menolak kemungkinan ada peringkat yang lebih tinggi lagi terlibat. Di sini yang pentingnya kita nak tahu ke mana wang itu pergi dan siapa lagi yang terlibat dalam skandal ataupun sindiket untuk mendaftarkan mereka yang telah berpoligami di Thailand dengan secara tidak betul," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pendidikan Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, pada Ahad.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan pihaknya tidak memerlukan SPRM mengenal pasti punca pasangan Malaysia yang terbabit bernikah atau berpoligami di Thailand.
Sebaliknya, kata beliau, tumpuan pihaknya ialah tindakan mereka mencari jalan mudah melalui ejen-ejen yang melibatkan jabatan agama untuk mendaftarkan pernikahan tanpa mengikut prosedur dengan bayaran rasuah.
Sebelum ini, media melaporkan tempoh reman terhadap tiga lelaki termasuk pendaftar perkahwinan di JAIPs yang berakhir hari ini, disambung tiga hari lagi untuk melengkapkan siasatan kes rasuah RM1.18 juta melibatkan urusan pendaftaran perkahwinan pasangan bernikah di Thailand.
Pada Rabu, media turut melaporkan ketiga-tiga suspek itu direman lima hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.
Laporan itu menyebut suspek pertama yang merupakan pendaftar perkahwinan dipercayai menerima wang rasuah RM1.18 juta daripada pemilik syarikat tersebut untuk membolehkan pasangan yang bernikah di Thailand mendaftar perkahwinan di JAIPs tanpa melalui prosedur ditetapkan.