Rasuah pendaftaran kelahiran: 12 individu direman, empat dibebaskan dengan jaminan

Bernama
Mac 12, 2025 20:56 MYT
SPRM menahan reman 12 individu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu. - Foto ihsan SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 12 individu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Menurut sumber, perintah reman selama empat dan lima hari hingga 15 dan 16 Mac itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 40-an selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sepuluh individu lagi yang terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita lingkungan umur 20-an dan 50an, direman lima hari hingga 16 Mac, selepas Majistret Ameera Mastura Khamis membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Terdahulu, SPRM menahan 16 individu berusia 20-an hingga 70-an antara 11 pagi hingga 8 malam menerusi Op Outlander dan Op Birth yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Johor, semalam.
"Suspek ditahan terdiri daripada masing-masing seorang penjawat awam, pengamal perubatan bergelar Datuk Seri dan pengamal undang-undang serta beberapa ejen dan pemohon daftar kelahiran.
"Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2013 hingga 2018 dan 2023 hingga 2025 dengan menerima serta memberi rasuah termasuklah menyediakan selain mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata empat suspek lagi terdiri daripada seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang turut ditahan dalam dua operasi berkenaan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan dan selepas keterangan mereka selesai dirakam.
-- BERNAMA
#SPRM #reman individu #Rasuah #pendaftaran kelahiran
;