Rasuah: Pegawai kanan universiti awam direman tujuh hari

Shuhada Abdul Kadir
September 20, 2022 02:30 MYT
Pegawai kanan universiti yang berusia 50-an itu ditahan selepas dipercayai menerima rasuah sebuah kereta jenis Honda Accord yang dianggarkan bernilai RM174,500. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Seorang pengarah bahagian pengurusan fasiliti di sebuah universiti awam direman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung dakwaan menerima suapan sebuah kereta bernilai lebih RM170,000.
Perintah reman terhadap suspek yang berusia 50-an itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dibawa ke perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira jam 9.10 pagi sebelum dibawa keluar 30 minit kemudian.
Semalam, media melaporkan suspek ditahan kira-kira jam 3 petang Isnin di pejabat SPRM Melaka di Alai selepas diminta hadir untuk memberi keterangan.
BACA: Terima rasuah kereta, SPRM Melaka tahan pegawai kanan universiti awam
Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad berkata, lelaki itu ditahan selepas dipercayai menerima rasuah sebuah kereta jenis Honda Accord yang dianggarkan bernilai RM174,500
Beliau berkata, suapan itu diterima daripada syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai lebih RM1.6 juta.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Rasuah | Pengarah universiti awam direman tujuh hari
#Rasuah #pegawai kanan #universiti #reman