Rasuah: Pegawai dan anggota tentera direman 7 hari

Hakim Rahman
Februari 24, 2017 12:45 MYT
Kedua-dua pegawai dan anggota tentera tersebut sedang diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Kuantan. - Foto SPRM
Dua pegawai dan anggota tentera masing-masing berpangkat Leftenan Kolonel dan Staf Sarjan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan melibatkan kes rasuah.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurunaim Abdullah di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.
Semalam, SPRM telah menangkap seorang pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel yang bertugas di Unit Senggaraan Zon Timur, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) kerana dipercayai telah menerima suapan daripada kontraktor-kontraktor proksi termasuk syarikat milik ayahnya yang mana isterinya merupakan pengarah syarikat tersebut.
BACA: SPRM tahan leftenan kolonel terlibat rasuah
Susulan itu, SPRM turut menahan seorang lagi anggota berpangkat Staf Sarjan yang bertugas di BPKP Zon Pahang.
Suspek berusia 44 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 8.40 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Kuantan.
Kedua-dua suspek yang merupakan Penyelia Senggaraan Kawasan Temerloh, Pahang disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.
Beliau berkata SPRM percaya mereka terlibat dalam meluluskan puluhan projek kepada syarikat berkepentingan sejak beberapa tahun lalu.
"SPRM akan menyiasat jika terdapat penglibatan pegawai-pegawai lain dalam perkara tersebut," ujar beliau.
#Kuantan #Leftenan Kolonel #pegawai tentera #Rasuah #reman #SPRM
;