Rasuah: Lima anggota penguat kuasa sebuah agensi direman enam hari

Adie Sufian Zulkefli
September 12, 2023 11:44 MYT
Perintah tahanan reman terhadap kesemua mereka dikeluarkan Majistret, Siti Norhidayah Mohd Noor di lokap Mahkamah Alor Setar, hari ini. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Lima anggota penguat kuasa dari agensi penguatkuasaan direman selama enam hari kerana disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan terhadap bot-bot nelayan yang melanggar undang-undang di negeri ini.
Kesemua mereka merupakan antara 11 individu berusia antara 30-an dan 50-an ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin, kerana disyaki terlibat dalam perbuatan itu yang didakwa berlaku antara 2018 hingga 2021.
Perintah tahanan reman terhadap kesemua mereka dikeluarkan Majistret, Siti Norhidayah Mohd Noor di lokap Mahkamah Alor Setar, hari ini.
Kelima-lima suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi pegawai SPRM dari Ibu Pejabat, sebelum dibawa keluar 20 minit kemudian dengan memakai baju lokap SPRM.
Pada Isnin, SPRM menahan 11 individu termasuk sembilan anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta 'runner' sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Kesemua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah dekat sini antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam.
Difahamkan, mereka yang terlibat menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi masing-masing bernilai antara RM300 hingga RM7,000.
Sembilan anggota penguatkuasa tersebut berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi manakala dua lagi orang awam, ditahan kerana disyaki memberikan wang rasuah.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Enam lagi individu yang ditahan semalam, dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil.
#anggota penguat kuasa #direman #minta rasuah #bot nelayan #SPRM Kedah #Alor Setar
;