Rasuah: KP SPRM malu mengaku rakyat Malaysia
Sinar Harian
November 13, 2018 13:36 MYT
November 13, 2018 13:36 MYT
Pelbagai skandal kleptokrasi yang melanda negara menyebabkan indeks persepsi rasuah (CPI) yang menunjukkan tren penurunan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull berkata, pada 2014 CPI negara mencatatkan 52 markah sahaja dan turun sehingga 47 tahun lalu.
“Adakah indeks ini makin baik atau makin buruk, ini adalah fakta," katanya.
Menurutnya, Malaysia terkenal di mata dunia sebagai negara kleptokrasi, bukan negara integriti.
"Ini memang memalukan.
"Malah ketika saya pergi ke luar negara pada 2016, ada orang luar tengak saya rupa Asia dan bertanya saya dari negara mana, saya malu nak sebut Malaysia (kerana pandangan mereka terhadap negara kita), saya cakap saya orang Indonesia,” katanya ketika berucap sebagai panel dalam Forum Permuafakatan SPRM-KPM 2018 di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.
Berdasarkan CPI 2017 dikeluarkan TI Februari lalu mendapati Malaysia mencatat penurunan daripada kedudukan ke-55 kepada 62 daripada 180 negara.
Malaysia memperoleh markah 47 daripada 100 dalam ditetapkan TI.
Walaupun berada pada kedudukan ketiga dalam kalangan 10 negara ASEAN, ia masih jauh terkebelakang dari segi markah.
Sementara itu, Shukri dalam pada itu turut mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) agar rasuah dijadikan subjek wajib di sekolah.
Menurutnya, pertemuan telah diadakan bersama Menteri KPM, Maszlee Malik bagi membincangkan perkara tersebut.
Sikap bencikan rasuah perlu ditanam dalam diri di peringkat awal lagi bagi mengelak ia merebak mereka apabila dewasa kelak," katanya.
Menurutnya, perilaku rasuah yang merebak di sekolah turut membabitkan guru dan pelajar.
"Ada kes guru meminta ‘anu’ atau seks daripada pelajar bagi membolehkan lulus peperiksaan.
“Malah ada juga kes pelajar memberi wang rasuah kepada rakan sekelas bagi membolehkan dilantik sebagai ketua kelas dan juga sokongan sebagai ketua pengawas.
"Kalau kecil-kecil macam ini sudah pandai bermain dengan duit macam mana nak harap mereka jadi pemimpin satu hari nanti, kerana itu pentingnya didikan awal untuk benci rasuah diterapkan,” katanya.
#ASEAN
#CPI
#Indeks Persepsi Rasuah
#integriti
#kleptokrasi
#Rasuah
#sekolah
#Shukri Abdull
#SPRM
#subjek wajib