Rasuah: 'Jangan sampai kapal tenggelam'

Zakaria Jaffar
Oktober 17, 2015 15:41 MYT
Kerja sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini kita sendiri yang pilih. Sebenarnya tugas sebagai pegawai SPRM ini amat berat. - Gambar Datuk Seri Zakaria Jaffar
MASA telah berlalu dengan cepat sejak saya memulakan kerjaya pada 2 Ogos 1982 sebagai Pegawai Penyiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Apabila saya merenung kembali perjalanan tiga dekad yang lalu, saya boleh mengatakan ada banyak perbezaan dan perubahan yang telah kita saksikan, melibatkan sistem, cara kerja, struktur organisasi dan undang-undang, khususnya sejak SPRM diwujudkan pada 1 Januari 2009. Begitu juga cabaran dalam usaha menangani isu jenayah rasuah.
Suasana dulu dan sekarang banyak berbeza. Kehendak rakyat juga semakin meningkat. Harapan mereka ke atas SPRM terus meningkat.
Kerja sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini kita sendiri yang pilih. Sebenarnya tugas sebagai pegawai SPRM ini amat berat. Tidak salah kalau saya kata tugas pegawai SPRM satu tugas yang teramat berat.
Ini kerana kita diamanahkan untuk mencegah orang lain dari melakukan rasuah, mencegah orang dari memasuki neraka. Dalam agama Islam, neraka bermaksud hukuman paling berat ke atas mereka yang melakukan dosa di bumi.
Kepercayaan penganut-penganut agama lain pun begitu. Bermakna tugas kita ini sebagai pegawai pencegahan rasuah memang berat. Tetapi kita memilih untuk berkhidmat sebagai pegawai SPRM dengan satu amanah yang cukup tinggi. Justeru, saya percaya pegawai-pegawai SPRM akan menyempurnakan amanah yang sangat mulia ini dengan sebaik yang mungkin tanpa takut dan tanpa tekanan.
Apabila kita bercakap mengenai jenayah rasuah ini, khususnya dari konteks Malaysia, ia melibatkan orang perseorangan. Yang melakukan rasuah adalah individu. Rasuah tidak melibatkan organisasi, syarikat atau pertubuhan. Sebaliknya yang melakukan individu selagi mereka ada kuasa dan wang serta kedudukan.
Pengalaman saya selama 33 tahun termasuk selama 24 tahun dalam bidang siasatan, kita telah menyiasat semua orang melibatkan segenap lapisan masyarakat. Kita pernah siasat ahli politik, menteri, tokoh korporat, menteri besar, ketua menteri, timbalan perdana menteri dan malah perdana menteri. Jadi, pesanan saya - jangan takut dan gementar untuk menjalankan amanah ini. Tidak kira siapa yang SPRM siasat.
Secara kebetulan, ketika saya bersara, SPRM sedang menyiasat seorang individu yang berprofil tinggi. Siasatan ini menguji sejauh mana bebas, telus dan profesionalnya SPRM dari kaca mata rakyat. Kita berhadapan dengan antara persepsi dan realiti.
Kita telah menggerakkan dasar Merakyatkan SPRM. Saya dapat melihat keyakinan rakyat ke atas meningkat kebelakangan ini. Mereka sudah mula memahami ciri sebenar fungsi dan tugas SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah.
Maka, saya yakin pegawai-pegawai SPRM akan terus memperlihatkan ketegasan dan tahap profesionalisme cukup tinggi dalam menyelesaikan kes berprofil tinggi ini dengan sebaik mungkin.
Ini penting untuk rakyat terus menyokong institusi pencegahan rasuah bernama SPRM.
Kebebasan SPRM perlu dilindungi
Kita semua tahu bahawa SPRM sedang berhadapan dengan dugaan dan ujian yang paling getir. Saya pun tanya pada diri saya mengapa perkara ini menimpa organisasi kita. Sebagai seorang Islam, saya melihat ini sebagai ujian Allah ke atas kita. Allah menguji kita yang diamanahkan dengan tugas mencegah kemungkaran.
Kita perlu fikir bersama bagi memastikan kesinambungan sebuah organisasi pencegahan rasuah bernama SPRM, yang diwujudkan di bawah Akta SPRM 2009. Jangan biarkan kedudukan SPRM sebagai suruhanjaya yang bebas, telus dan profesional, diusik dan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
Beberapa bulan yang lalu, 'ribut' melanda SPRM. Kita perlu meneruskan tanggungjawab dengan bebas, telus dan profesional demi negara dan rakyat. Saya berharap setiap pegawai SPRM akan terus memberi sokongan padu kepada Ketua Pesuruhjaya dan Pengurusan Tertinggi.
Sepanjang saya berkhidmat di BPR dan SPRM, saya tidak pernah terfikir dan terlintas pada diri saya yang SPRM akan menghadapi cabaran terbesar dan paling hebat seperti yang dilalui sekarang. Semua sedia maklum SPRM sedang menjalankan satu siasatan paling besar sejak penubuhan pada tahun 1967.
Oleh itu, pegawai-pegawai yang terlibat dalam siasatan kes ini harus diberi sokongan dan suntikan semangat kepahlawanan untuk berjuang di medan yang paling sukar ini. Kita berhadapan dengan satu siasatan yang melibatkan orang paling berkuasa dalam negara. Saya yakin SPRM akan menjalankan siasatan dan memastikan kes yang disiasat adalah selengkap-lengkapnya. Ini kerana kita tidak mahu pihak yang membuat keputusan ke atas laporan kertas siasatan ini mempunyai sebab untuk tidak ber
setuju dengan cadangan dan syor yang dibuat SPRM.
Dalam pengalaman saya lebih 30 tahun, proses pembuktian bukan mudah. Perlu memastikan kita punya kes adalah kukuh untuk dibawa ke mahkamah. Amalkan prinsip 'no-stone unturn'. Jangan beri ruang dan peluang untuk sesiapa 'reject the case'.
Berdasarkan kepada amalan biasa, yang akan menentukan sama ada merit untuk dibawa ke mahkamah atau sebaliknya, adalah Peguam Negara. Tanggungjawab SPRM hanya menjalankan siastaan. Pesanan saya, jika ada kes nyatakan ada kes. Jika tidak ada kes, nyatakan tidak ada kes dalam laporan kertas siasatan.
Ini cukup penting sebab dokumen ini boleh disemak oleh anak cucu kita atau anak cucu mereka yang disiasat satu hari kelak. Mereka akan tahu sama ada kita telah melakukan perkara yang betul atau tidak sebagaimana telah diamanahkan. Bukan senang untuk mendapatkan keputusan pendakwaan. Tetapi sejarah akan menunjukkan bahawa SPRM tidak pernah putus asa, seperti dalam kes Perwaja, yang saya sendiri telah terlibat dalam siasatan selama lapan tahu.
Memenuhi harapan rakyat
Saya berjanji akan menyokong SPRM walaupun saya berada di luar SPRM. Saya tahu dan faham sepenuhnya kerja seorang Pegawai Penyiasat dan tugas SPRM. Bukan satu tugas yang mudah. Walaupun ada agensi yang menutup kes Perwaja, SPRM telah meneruskan siasatan sehingga ke akhir, sampai ke luar negara, dan berjaya membawa kes ke mahkamah.
Oleh itu, saya yakin pegawai-pegawai yang terlibat dalam kes semasa, yang melibatkan personaliti yang tinggi kedudukan berbanding kes Perwaja, dan mendapat perhatian antarabangsa, akan menjalankan tugas tanpa getar dan gementar. Berdasarkan kepada tradisi, siasatan tetap perlu dijalankan meskipun kita difahamkan ada saksi yang hilang, lari atau dilarikan.
Baru-baru ini kita semua telah mengikuti pendirian yang dibuat oleh Majlis Raja-raja Melayu berhubung isu 1MDB. Walaupun SPRM tidak siasat kes 1MDB, tetapi mesej yang disampaikan oleh Majlis Raja-raja Melayu juga merujuk kepada kes SRC International dan dana RM2.6 bilion, yang bersangkut paut dengan 1MDB secara langsung dan secara tidak langsung.
Tuanku Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Selain itu, Tuanku Raja-raja Melayu juga mahu badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti SPRM menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti.
Bagi saya kenyataan Majlis Raja-raja Melayu ini juga satu detik bersejarah. Kita ada sokongan rakyat. Kita ada sokongan Majlis Raja-raja Melayu. Kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak mengganggu siasatan SPRM. Saya menghargai ketegasan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Oktober yang lalu. Saya yakin Tan Sri Ketua Pesuruhjaya akan terus menguatkan semangat untuk memastikan siasatan dijalankan dengan baik yang mungkin sebagaimana diharapkan oleh raja dan rakyat.
Saya yakin SPRM tidak akan menghantar kes yang sedang disiasat tanpa mendapat keterangan daripada tiga orang yang sedang dicari. Kita tidak mahu memberi justifikasi kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk menolak cadangan penguatkuasaan sekiranya kita yakin terdapat kesalahan telah dilakukan oleh orang yang disiasat, hanya atau kerana ketiadaan keterangan mereka. Sejarah siasatan kita seperti dalam kes Perwaja, kes Polimer, dan beberapa kes yang lain menunjukkan bahawa kita mempunyai keupayaan untuk mendapatkan kerjasama dari luar negara walaupun mengambil masa yang lama.
Walau bagaimanapun seperti mana kita tahu, berdasarkan keperluan undang-undang Malaysia, semua bantuan dan kerjasama dari luar negara yang hendak dipohon oleh SPRM perlu melalui kebenaran Jabatan Peguam Negara iaitu pemohonan Mutual Legal Assistance (MLA). Oleh yang demikian, saya memohon Jabatan Peguam Negara dapat membantu SPRM sama seperti masa-masa lalu.
Oleh itu, saya juga mencadangkan supaya sebelum syor siasatan kes ini dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, SPRM membentangkan penemuan dan hasil siasatan kepada pihak panel bebas yang memantau perjalanan dan kerja SPRM terlebih dahulu. Cadangan ini selaras dengan harapan Tuanku Raja-raja Melayu baru-baru ini, yang mahukan siasatan kes ini dijalankan dengan telus dan hasilnya dapat meyakinkan rakyat.
Bagi pihak Peguam Negara, dicadangkan supaya melantik satu panel yang terdiri daripada seorang dari bekas Peguam Negara, seorang bekas hakim dan seorang wakli dari Majlis Peguam untuk mengkaji hasil siasatan kes ini. Peguam Negara mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana pihak yang layak untuk bertindak membuat keputusan sama ada kes atau tidak untuk didakwa di mahkamah.
Perkara ini pernah dilakukan semasa bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail disiasat oleh SPRM empat tahun yang lalu. Saya yakin Ketua Pesuruhjaya akan bersetuju kerana beliaulah yang telah mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk kes yang melibatkan beliau dikaji oleh tiga orang hakim. Kes yang dimaksudkan juga dibentangkan dalam mesyuarat khas yang dihadiri oleh ahli-ahli lembaga dan jawatankuasa yang memantau perjalanan SPRM.
Saya juga mengesyorkan agar pasukan petugas khas yang dibentuk sebelum ini diaktifkan semula bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan berkesan. Baru-baru Jabatan Peguam Negara dilaporkan berkata dalam satu kenyataan, pasukan petugas khas tidak dimansuhkan atau dibubarkan. Tetapi saya difahamkan pasukan petugas ini tidak bermesyuarat sejak Tan Sri Abu Kassim kembali dari luar negara mendapatkan maklumat bagi memperkukuhkan siasatan akhir Julai 2015.
Pengharapan rakyat adalah di bahu kita dan titah Tuanku Raja-raja Melayu adalah amanah yang teramat penting mesti ditunaikan sepenuhnya. Saya penuh yakin Tan Sri Abu Kassim bersama Dato Sri Shukri serta pegawai-pegawai SPRM tidak ada mengabaikan pengharapan dan amanah ini.
Malaysia ini ibarat sebuah kapal yang besar di lautan. Ada seorang manusia yang dahagakan air, sedang menepuk kapal, kononnya hendak minum air. Apa akan terjadi kepada kita jika kita tidak halang orang yang menepuk kapal ini. Tidak kira apa kedudukan dia. Tepuk kapal untuk kepentingan diri, dia akan menjahanamkan seluruh kapal, tenggelamlah kita.
Oleh itu, apa tanggungjawab kita sebagai rakyat? Setiap rakyat ada peranan. Kita perlu ambil tanggungjawab bagi menghalang orang daripada menepuk kapal. Halang orang daripada menepuk.
Ini peranan dan tugas kita.
* Datuk Seri Zakaria Jaffar merupakan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM. Tulisan ini sedutan daripada ucapan beliau pada Majlis Paluan Berundur pada 12 Oktober 2015.
#1Malaysia Development Berhad #Gani Patail #Raja-raja Melayu #Suruhanjaya Badan Pencegah Rasuah #Zakaria Jaffar
;