Rasuah: Hukuman pesalah golongan elit perlu lebih berat - Akhbar Satar
Sinar Harian
Julai 13, 2022 05:45 MYT
Julai 13, 2022 05:45 MYT
SHAH ALAM: Hukuman penjara bagi kes-kes rasuah terutamanya melibatkan golongan elit perlu dikenakan dengan lebih berat.
Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, ia berikutan golongan elit mempunyai wang yang cukup untuk mengupah peguam-peguam yang handal bagi membela mereka dalam penghakiman dan secara tidak langsung membebaskan mereka daripada pertuduhan tersebut.
“Saya punya pandangan iaitu tujuan untuk diadakan (hukuman) penjara ini adalah pertama sudah tentu sebagai pembalasan, yang kedua untuk pemulihan dan yang ketiga (jadikan pengajaran) supaya kita tidak buat lagi.
“Itu antara perkara yang patut kita lihat sebab saya percaya bahawa jika sekiranya golongan elit ini dan juga perasuah yang mempunyai duit, tauke-tauke dan sebagainya, mereka memang takut masuk penjara.
“Jadi implikasi itu akan menyebabkan orang-orang elit yang melakukan rasuah ini, mereka akan fikir dua tiga kali sebelum melakukan sesuatu (aktiviti rasuah),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Hukuman Rasuah Masih Ringan’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Program itu turut menampilkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Exco Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPIM), Hariz Yusoff manakala Zaim Zaini sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Akhbar berkata, sudah tiba masanya hakim-hakim perlu melihat betapa seriusnya impak perbuatan rasuah itu kepada negara.
Menurutnya, kesalahan rasuah tidak boleh disamakan dengan kesalahan jenayah membunuh kerana implikasinya berbeza.
“Jika sekiranya mereka membunuh seseorang itu, ia akan jadi masalah mereka dengan keluarga mangsa yang dibunuh sahaja tetapi rasuah ini merupakan perkara yang mempunyai implikasi lain.
“Walaupun ambil RM1, tetapi duit itu boleh digunakan untuk tujuan kebaikan seperti membina hospital dan menyediakan ubat-ubatan untuk orang ramai.
“Jadi implikasinya begitu teruk sekali kepada negara,” ujarnya. -Sinar Harian
#Akhbar Satar
#Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia
#rasuah golongan elit
#hukuman penjara