Rasuah: Empat pegawai kastam dihukum penjara dua tahun
Adie Sufian Zulkefli
Disember 26, 2021 16:59 MYT
Disember 26, 2021 16:59 MYT
ALOR SETAR: Empat pegawai kastam dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM22,000 daripada seorang peniaga kedai runcit dua tahun lalu.
Hakim, Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Kamaruzaman Hashim, 41, Mohamad Fadzil Voon Fandi Voon, 34, Saiful Azhar Ismail, 35, dan Muhamad Izrul Ismail, 30 selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama menerima sejumlah wang tunai RM22,000 daripada peniaga kedai runcit berusia 69 tahun yang didapati menyimpan rokok dan mercun yang belum lulus kastam.
Kesalahan itu dilakukan di Kampung Namek Tua, Sik kira-kira pada jam 6.30 petang pada 21 Mei 2019.
Selain itu, tertuduh pertama Kamaruzaman turut dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan selepas didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM3,000 daripada menantu peniaga terbabit.
Ia adalah sebagai ganjaran kerana tidak menangkap atau mengambil tindakan terhadap bapa mertuanya yang menyimpan rokok dan mercun yang belum lulus kastam.
Kamaruzaman didapati melakukan kesalahan itu melalui transaksi dalam talian di alamat dan hari yang sama kira-kira jam 6.49 petang.
Hakim menetapkan hukuman bagi Kamaruzaman dijalan serentak dengan pertuduhan bersama mulai hari ini.
Mereka didapati melakukan kesalahan dibawah Seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun penjara atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.
Kesemua tertuduh diwakili peguam Rosman Azwan Osman manakala pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Khairul Nizam Abu Bakar.
Bagaimanapun Rosman Azman memohon kepada mahkamah agar penangguhan hukuman diberikan kepada semua anak guamnya sementara menunggu kes dikemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Ini kerana keempat-empat pegawai kastam itu sudah digantung kerja dan menanggung isteri serta anak-anak yang masih kecil selain bergelut dengan pandemik COVID-19.
Hakim kemudian membenarkan penangguhan hukuman dan mengenakan ikat jamin tambahan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selepas jaminan RM2,000 dikenakan pada hari pertuduhan sebelum ini.
Mereka juga perlu melaporkan diri di pejabat kastam berdekatan setiap bulan.