Rasuah Busters: Tidak perlu silibus, kokurikulum memadai - PAGE

Fareez Azman
Mac 14, 2021 19:41 MYT
PAGE berpendapat penerapan ilmu pengetahuan dan mengambil ilham dari persekitaran boleh dipupuk untuk membina pelajar mampu berfikir dan belajar kendiri tanpa disuap. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemahaman berkenaan gejala rasuah terutama kepada murid-murid di sekolah memadai dibuat menerusi kokurikulum dan tidak memerlukan satu silibus pendidikan yang khusus.
Itu pandangan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) susulan cadangan beberapa pihak agar kerajaan mewujudkan silibus pendidikan berkenaan rasuah di peringkat sekolah rendah sehingga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar perbuatan itu dapat dibanteras di peringkat akar umbi.
Menurut Setiausaha Kehormat PAGE, Tunku Munawirah Putra cadangan itu hanya akan memberikan beban kepada pelajar yang kini perlu mengikuti silibus pendidikan yang banyak.
"Silibus di sekolah sudah terlalu banyak dan mampat. Dalam era pendidikan masa kini, pengajaran dan pembelajaran perlu lebih dinamik dan berganjak dari kaedah pengajaran yang silam.
"Penerapan ilmu pengetahuan dan mengambil ilham dari persekitaran boleh dipupuk untuk membina pelajar mampu berfikir dan belajar kendiri tanpa disuap.
"Lebih lagi kini, dengan pembelajaran secara online. Pembelajaran tidak terhad di sekolah sahaja," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Jelasnya lagi, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sekolah sepatutnya membolehkan pelajar untuk menilai isu-isu seperti rasuah serta isu semasa yang boleh diperbincangkan.
"Ia sebagai projek penilaian formatif dan dipraktikkan di dalam kerangka program kokurikulum, tanpa keperluan untuk memuatkannya di dalam silibus," jelasnya lagi.
Terdahulu, Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan memberi cadangan kepada kerajaan agar sesi pengajaran yang berkaitan amalan rasuah perlu memasukkan kes rasuah yang pernah berlaku di negara ini sebagai contoh kepada pelajar.
Jelasnya, langkah tersebut penting kerana ia bukan sahaja mampu memberikan pendedahan malah turut menjadi pengajaran kepada mereka yang bersalah.
Menurutnya, pesalah yang terbukti bersalah perlu diberikan pengajaran yang sebaiknya dengan menjadi contoh kepada pelajar dalam sistem pendidikan.
#Astro Awani #Rasuah Buster #sekolah #murid #IPT #pengajaran dan pembelajaran #kerajaan #KPM #pelajar #pendidikan #silibus #PAGE #Tunku Munawirah Putra
;