Rasuah Busters: Naikkan gaji penjawat awam bukan jalan penyelesaian - Akhbar Satar
Madiha Abdullah
Februari 13, 2021 10:42 MYT
Februari 13, 2021 10:42 MYT
ISU rasuah berkait rapat dengan integriti dan kejujuran, justeru langkah menaikkan gaji kepada penjawat awam bukan jawapan kepada masalah ini.
Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berpendapat penerapan nilai moral dan aspek penguatkuasaan lebih penting dalam membantu usaha memerangi rasuah.
"Ini soal integriti yang berbangkit daripada kesedaran sendiri. Kena sedar tak boleh tamat dan jangan hidup lebih daripada kemampuan.
"Gaji di Malaysia kalau dibanding dengan Indonesia dan Thailand, boleh dikira agak baik.
"Mereka perlu diingatkan dan diterapkan dengan nilai yang bagus, dan masyarakat juga perlu mainkan peranan membuat laporan.
"Jangan jadi pemberi rasuah dan pegawai-pegawai ini perlu sentiasa diberi peringatan tentang bahaya dan impak rasuah.
"Dalam masa yang sama, ketua yang beri peringatan perlu tunjuk contoh yang baik, bersih dari rasuah," katanya mengulas tentang tindakan mengelak rasuah dalam kalangan penjawat awam dalam Buletin AWANI, hari ini.
Tambah Akhbar, melalui pemerhatian, terdapat ramai individu yang bergaji besar terbabit dengan rasuah sekaligus menjadikan gaji sebagai isu yang berbeza dengan rasuah.
"Individu ini sentiasa rasa tidak cukup dan mahu hidup lebih mewah.
"Mereka perlu disedarkan kalau nak hidup lebih mewah, ada cara yang betul seperti menjalankan perniagaan atau kenaikan pangkat.
"Tetapi menaikkan gaji bukan langkah yang ideal jika tujuannya untuk membanteras rasuah kerana ia berkait dengan isu integriti," katanya.
#Akhbar Satar
#Rasuah
#naik gaji penjawat awam
#Pemeriksa Fraud Bertauliah
#nilai moral
#banteras rasuah