Rasuah Busters: 'Bukan lagi perkataan, tetapi amalan' - Syed Hamid Albar

Faida Rahim
Februari 22, 2023 16:30 MYT
Tan Sri Syed Hamid Albar meminta agar Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi mengulangi cara kepimpinan terdahulu apabila terlalu banyak berpolitik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kabinet Tan Sri Syed Hamid Albar meminta agar Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi mengulangi cara kepimpinan terdahulu apabila terlalu banyak berpolitik.
Beliau yang berucap dalam Program Nota Rasuah Busters kepada Perdana Menteri menekankan betapa pentingnya 'amalan' dan bukan lagi perkataan dalam memastikan nasib rakyat terus terbela.
“Kebangkitan rakyat sudah bermula, kebangkitan civil society sudah bermula. Saya melihat mesti ada iltizam. Bukan lagi perkataan. Bukan lagi visi kerana kita sudah ada visi.
“Yang penting untuk kita bertindak dengan menentukan, bukan perkataan tapi amalan. Ini yang kita nak sampaikan kepada Perdana Menteri. Kita ucapkan tahniah kepada beliau, tapi tahniah ini yang mempunyai tanggungjawab, sesuatu yang memerlukan pergerakan. Kita tidak mahu duduk di tahap itu.
“Kita tidak mahu bila persepsi bahawa bila kita ambil tindakan untuk mengatasi rasuah, ianya dilihat sebagai satu tindakan yang berasaskan kepada memilih. Persepsi ini mesti diatasi dulu. Kita nak minta pada Perdana Menteri hentikan politik, dan (mula) govern (mentadbir),” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Dr Tricia Yeoh berpendapat, Akta Pendanaan Politik perlu diwujudkan segera di Malaysia bagi menambah baik landskap politik negara, sekali gus demi kelangsungan sistem demokrasi Malaysia yang lebih bersih.
“Sekiranya tiada akta pendanaan politik bagaimana rakyat Malaysia, ahli politik atau agensi Kerajaan mengenal pasti apa yang diperlukan, apa yang disahkan? Undang-undang sedia ada perlu diperbaharui supaya jumlah sumbangan wang yang boleh diterima calon pilihan raya, ahli politik diperkenalkan dan dikenal pasti alirannya.
“Duit negara harus dipelihara dengan sangat baik, PM dan Kerajaan telah menyatakan pentingnya untuk memastikan tiada ketirisan.
“Sekiranya kita semua faham bahawa duit adalah penting, apatah lagi duit negara, kita harus memastikan bahawa duit politik yang disalurkan kepada parti mesti dijaga baik dan tidak diguna pakai dalam cara yang salah. Ini untuk menjamin kesejahteraan seluruh masyarakat Malaysia,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Syed Hamid Albar #rasuah busters #ideas
;