Rasuah Busters: Biarpun akta belum dibentangkan, rakyat perlu terus dididik benci rasuah

Firdaus Azil
November 26, 2021 11:30 MYT
Gejala rasuah mempunyai hubungkait dengan tindakan ahli politik yang melompat parti, sehingga menyebabkan ketidakstabilan politik. - FOto fail
KUALA LUMPUR: Biarpun Akta AntiLompat Parti, yang mempunyai hubung kait dengan amalan rasuah, masih belum dibentang dan diluluskan di Parlimen, namun kempen kesedaran di kalangan rakyat perlu terus diperhebatkan.
Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia, Badlishah Sham Baharin berkata, rakyat Malaysia perlu terus dididik tentang gejala rasuah, serta kepentingan menolak pemimpin atau ahli politik yang mengamalkan rasuah.
Badlishah, yang juga terlibat secara aktif dalam kempen Rasuah Busters berkata, sekiranya perkara itu dapat direalisasikan, ia bukan sahaja memberi kesejahteraan kepada rakyat, tetapi juga dapat memacu Malaysia menjadi negara yang lebih unggul.
"Saya bersama dengan Rasuah Busters yang dipelopori Datuk Husammuddin Yaacub, memang kami akan buat konvoi turun ke padang, turun ke negeri, di semua pelusuk negara untuk kita terangkan tentang gejala rasuah.
"Jadi rakyat faham bahaya, perlu kesedaran untuk basmi rasuah, dan lantik pemimpin yang tak amalkan rasuah.
"Ini antara mesej yang kami akan bawa ke bawah, ke akar umbi, supaya rakyat sedar, kesejahteraan mereka dan negara boleh bermula dengan baik kalau kita menolak gejala rasuah ini.
“Di peringkat mana sekali pun, akar umbi, pimpinan atau di sektor swasta, kalau mereka katakan tidak kepada gejala rasuah, tolak pemimpin rasuah, saya yakin negara kita akan jadi lebih baik di masa hadapan,” katanya lagi.
Dalam satu kajian oleh firma penyelidikan pasaran dan perundingan Ipsos baru baru ini, lebih 51 peratus rakyat malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap isu rasuah politik dan kewangan.
BACA: Rakyat Malaysia bimbang isu rasuah politik, kewangan - Ipsos
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan sebagai berkata, kerajaan bercadang untuk membentangkan rang undang-undang berkenaan lompat parti sebelum Julai 2022.
BACA: RUU AntiLompat Parti, had tempoh PM dibawa ke Parlimen sebelum Julai 2022
Rata-rata pemerhati politik melihat, terdapat hubung kait antara gejala rasuah dengan tindakan beberapa ahli politik yang melompat parti, sehingga menyebabkan ketidakstabilan politik di negara ini.
Mengulas lanjut, Badlishah berkata, penglibatan penggubal dasar di kalangan ahli-ahli parlimen amat penting untuk menghasilan dasar bagi memerangi gejala rasuah.
“Kami minta supaya Ahli-ahli Parlimen membawa isu ke tengah, dalam sidang parlimen untuk dibincangkan, malah perbincangan tentang pendanaan politik juga dibincangkan dengan hebat.
“Kita harap minda yang ada ini digunakan untuk mereformasi negara, dan usaha ini akan akan bertumbuh dengan kuat, di kalangan Ahli-ahli Parlimen, supaya undang-undang berkaitan dapat digubal demi kesejahteraan dan kebaikan negara,” katanya lagi.
#rasuah busters #Badlishah Sham Baharin #gejala rasuah #ahli politik
;