Rasuah: Bekas pengarah di Bukit Aman direman lima hari

Firdaus Azil
Oktober 26, 2018 08:00 MYT
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. - Gambar fail
Seorang pegawai kanan polis bergelar 'Datuk' direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah lebih RM100,000.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim terhadap pegawai kanan berusia 56 tahun berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) tersebut yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman.
Menurut sumber, suspek sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Jabatan di IPK Bukit Aman
Individu berkenaan, disyaki telah meminta dan menerima wang rasuah antara Ogos 2017 sehingga Ogos lalu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang anggota polis berpangkat koperal yang mengambil upah dalam urusan pengurangan saman dan kesalahan trafik.

Mahkamah Majistret Putrajaya benarkan permohonan reman 5 hari oleh SPRM ke atas seorang Pengarah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bergelar Datuk berhubung kes rasuah. Beliau dipercayai telah meminta rasuah RM103,000.00 berhubung satu operasi di P.P, September lepas.@501Awani pic.twitter.com/LqGpCdgE9l

— FA (@FirdausAzil) October 26, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kata sumber lagi, suspek ditahan pada jam 7.10 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam selepas hadir memberi keterangan.
Tambah sumber, penahanan suspek juga adalah susulan operasi yang dilaksanakan pada 3 September lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
#Bukit Aman #Datuk #IPK bukit aman #PDRM #pegawai kanan polis #Rasuah #SPRM