Rasuah: Bekas majistret dihukum penjara 58 tahun, denda RM1.05 juta
Astro Awani
Mac 18, 2022 17:48 MYT
Mac 18, 2022 17:48 MYT
KUANTAN: Seorang bekas majistret dijatuhi hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap enam kes pertuduhan berkaitan rasuah tiga tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan terhadap Mohamad Amin Shahul Hamid, 41 tahun, oleh Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak iaitu penjara selama 12 tahun bermula tarikh sabitan.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 72 bulan, jika gagal membayar kesemua denda tersebut.
Tertuduh, yang pernah berkhidmat di Mahkamah Lipis dan Raub itu, didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.
Suapan tersebut sebagai dorongan untuk hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup semasa kes itu didengar di hadapan tertuduh.
Mohamad Amin bersalah mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 9 Ogos tahun lalu, mahkamah selepas mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan memerintahkan tertuduh membela diri terhadap semua pertuduhan.
Mohamad Amin memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah tanpa mengemukakan saksi lain bagi menyokong pembelaannya.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam, S Meheraj.
Sementara itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan tambahan RM25,000 bagi menangguhkan semua hukuman itu selepas pihak pembelaan mengemukakan permohonan untuk memfailkan keputusan berkenaan ke Mahkamah Rayuan.