Rasuah: Bekas kerani TH diarah jalani hukuman penjara, selepas rayuan ditolak
Bernama
Februari 6, 2017 21:50 MYT
Februari 6, 2017 21:50 MYT
Seorang bekas kerani Lembaga Tabung Haji (TH) dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman selama empat tahun selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan menerima rasuah.
Roslan Mohamed Som, 52, didapati bersalah menerima suapan wang tunai RM6,750 daripada Samsudin Ibrahim sebagai upah untuk menolong menguruskan 27 jemaah haji yang tidak layak menunaikan haji pada 2010, supaya dapat menunaikan haji pada waktu itu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim sebulat suara menolak rayuan terakhir Roslan hari ini.
Mohd Zawawi yang mengetuai panel itu memutuskan bukti mencukupi untuk menyokong sabitan Roslan.
Beliau mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM40,000 atau penjara enam bulan terhadap Roslan bagi kesalahan itu yang dilakukan di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur antara 3.30 petang dan 4 petang pada 15 Julai 2010. Roslan membayar denda itu.
Dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi, menyebabkan Roslan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Roslan, memohon mahkamah memberi ihsan kepada anak guamnya dan mengurangkan hukuman penjara kepada dua tahun memandangkan dia mempunyai dua anak dan tidak bekerja.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Hamzah berkata hukuman penjara empat tahun adalah berpatutan kerana hukuman penjara maksimum yang diperuntukkan di bawah undang-undang bagi kesalahan itu adalah 20 tahun.
Mohd Zawawi memerintahkan Roslan menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini, mengambil kira 15 hari tempoh penjara yang dijalaninya sejak 30 Jun tahun lepas apabila Mahkamah Tinggi menolak penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, mahkamah sama membatalkan rayuan yang dikemukakan Afizul Md Yasin, 39, bekas juruanalisis sistem, Jabatan Teknologi Maklumat TH terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM60,000 atau penjara 24 bulan selepas didapati bersalah membuat pengubahsuaian kandungan pangkalan data sistem haji.
Peguam P.G. Cyril memberitahu mahkamah anak guamnya (Afizul) mahu menggugurkan rayuan itu.
Afizul didakwa membuat capaian ke pangkalan data TH tanpa kuasa dan didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana memasukkan rekod nama 27 jemaah haji menggunakan program komputer, antara Jun dan Julai 2010 di ibu pejabat TH.
Dia akan menjalani hukuman penjara lima tahun kerana gagal membayar denda.