Rasuah: 18 lagi pegawai, penguatkuasa JPJ Pulau Pinang didakwa mulai esok

Astro Awani
Julai 23, 2019 10:47 MYT
LATHEEFA: Dalam kes ini, ia melibatkan pegawai JPJ pelbagai pangkat daripada gred 19 hingga ke gred 29. - Astro AWANI
Seramai 18 lagi pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Butterworth secara berperingkat mulai esok.
Mereka adalah sebahagian daripada lebih 70 pegawai penguatkuasa jabatan itu yang ditahan berhubung kes melindungi sindiket 'lori kebal' awal tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, kesemua mereka terdiri daripada pegawai dan penguatkuasa Gred 19 hingga 29 yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
"Kami ada kes melibatkan JPJ esok, tetapi berhubung pendakwaan, kami minta anda tunggu sehingga ia dibacakan.
"Saya tidak tahu apa yang anda maksudkan dengan 'ikan besar'. Dalam kes JPJ ini, ia melibatkan pegawai pelbagai pangkat daripada gred 19 hingga ke gred 29," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini hari ini.
Bagaimanapun, ditanya sama ada akan ada lagi tangkapan baru selepas ini, beliau enggan mendedahkan kerana tidak mahu mengganggu siasatan.
Januari lalu, lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya yang membawa lebih muatan sekitar Pulau Pinang.
Kesemua pegawai penguatkuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang itu dipercayai menerima bayaran berjumlah antara RM10,000 dan RM32,000 secara bulanan, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat, selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.
Wang yang diterima tersebut dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan.
Difahamkan, modus operandi yang digunakan adalah membekalkan pelekat khas kepada lori yang dilindungi agar senang dikenalpasti.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
#JPJ #Latheefa Koya #lori kebal #mahkamah #pegawai penguatkuasa #Rasuah #siasatan #sindiket #SPRM