Rasisme pembangkang punca BN gagal menang besar

Ashwad Ismail
Mei 11, 2013 23:33 MYT
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak menyifatkan BN berupaya menang lebih besar sekiranya blok pembangkang tidak memainkan sentimen perkauman.
Tegas beliau, UMNO tidak tewas sebaliknya menambah kerusinya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
"UMNO tidak tewas. UMNO tambah kerusinya. Kalau tidak kerana pembohongan dan sentimen kaum yang dimainkan pembangkang, BN boleh menang lagi besar," kata Najib semasa berucap semasa sambutan ulangtahun UMNO yang ke 67 di ibu negara.
Beliau turut menegaskan keupayaan UMNO sebagai sebuah parti yang mengamalkan kesederhanaan nyata menjadi pilihan rakyat yang menterjemahnya pada proses demokrasi minggu lalu.
Pada masa yang sama, Najib memberi jaminan meneruskan agenda transformasi yang mengangkat prinsip keadilan sosial sebagai teras pemerintahan mandat yang baru ini.
"Kita akan tetap pertahan dasar adil dan saksama dalam negara. Inilah formula yang terbaik," ujar Najib.
Najib turut menyelar pembangkang yang menolak suara rakyat dalam PRU-13 dengan tidak menerima kekalahan mereka untuk menguasai peringkat Parlimen.
"Inilah hipokrasi paling besar yang tak boleh terima. Jangan menyusahkan rakyat kerana kemaruk kuasa," tegas Presiden UMNO itu.
Pada proses demokrasi baru-baru ini UMNO menunjukkan prestasi positif di sebalik pencapaian kurang memberangsakan BN. UMNO yang bertanding 120 kerusi Dewan Rakyat mewakili BN menang 88 kerusi. Ia peningkatan yang agak baik iaitu pertambahan sebanyak 9 kerusi berbanding pilihan raya umum pada 2008. Ketika itu, ia bertanding 117 kerusi.
Bagi pilihan Dewan Undangan Negeri pula, UMNO menang 242 daripada 339 kerusi yang ia ikut bertanding. Pada 2008, ia bertanding 338 kerusi dan menang 239.
Ingatan kepada UMNO dan BN
Tambah Najib, UMNO sebagai sebuah parti yang paling lama berada di tampuk kuasa di dunia ini terus bermuhasabah dengan kemenangan yang diperolehi.
"Jangan kita angkuh. Jangan 'arrogant', kita berjaya kerana rakyat percaya kepada kita. Kita kena ingat sepanjang masa pada kesudahan rakyatlah yang menentukan kelangsungan dan kekuasaan parti kita."
"Kita hormat dan kita tunduk kepada rakyat," ingatan Najib kepada seluruh anggota Barisan Nasional.
Beliau menggariskan dua langkah yang perlu dilakukan BN bagi memastikan parti pemerintah kekal relevan untuk PRU akan datang.
"Pertama laksanakan aku janji-aku jani. Kedua, pastikan parti kita adalah parti yang sentiasa mesra rakyat," kata Najib.
Ini bagi memastikan setiap gerak kerja dan strategi mencerminkan UMNO dan BN sebagai sebuah parti yang berkhidmat kepada rakyat.
#najib #UMNO
;