Rasionalisasi subsidi: Kerajaan perlu rundingi rakyat, persatuan

Bernama
Oktober 28, 2014 09:52 MYT
Lim Guan Eng menyarankan kerajaan persekutuan mengadakan rundingan menyeluruh bersama rakyat berhubung skim rasionalisasi subsidi bahan api. -Gambar fail
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyarankan kerajaan persekutuan mengadakan rundingan menyeluruh bersama rakyat dan persatuan berhubung skim rasionalisasi subsidi bahan api tahun depan.
Beliau berkata rundingan itu perlu untuk membincangkan mekanisme pelaksanaan yang bersesuaian.
Ini bagi mengelakkan sebarang penyelewengan, selain subsidi yang diperuntukkan diberi kepada golongan yang benar-benar memerlukan, kata beliau.
"Supaya prinsip keadilan dan kesaksamaan ekonomi dapat ditegakkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
"Kita tidak tahu bagaimana mekanismenya dan kita masih menunggu. Saya berpendapat ada banyak isu-isu berhubung pelaksanaannya.
"Apakah jaminan bahawa tidak akan berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewangan," kata Lim.
Semalam, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata skim rasionalisasi subsidi bahan api yang akan dilaksanakan tahun depan akan bergantung kepada pendapatan.
Beliau berkata mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan, akan terus menikmati subsidi bahan api manakala yang berpendapatan melepasi RM10,000, tidak layak.
Ahmad Husni berkata mekanisme pelaksanaannya masih dikaji secara terperinci oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
#Ahmad Husni Hanadzlah #Lim Guan Eng #rasionalisasi #subsidi bahan api