Rasai pengalaman luar biasa di Pesta Cahaya Sains Angkasa

Bernama
September 26, 2023 11:00 MYT
Pesta Cahaya Sains Angkasa anjuran Kerajaan Negeri Perak sedang berlangsung di Padang RTC di Gopeng, sehingga 1 Oktober ini. --fotoBERNAMA
GOPENG: Seolah-olah berada di ruang angkasa sambil 'menyentuh' planet-planet yang ada dalam sistem suria, di samping merakam gambar dan video kenangan berlatarbelakangkan 'alam' yang tidak mungkin dapat kita sampai.
Begitulah suasana apabila anda menerjah masuk ke ruangan Pesta Cahaya Sains Angkasa pertama kali anjuran kerajaan Perak yang sedang berlangsung di Padang Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), di sini sehingga 1 Okt nanti.
Pengurus Trident Event Management, syarikat penganjur pesta itu Lin Nordin, 26, berkata setakat ini lebih 50,000 pengunjung sudah melawat ke pesta yang berkeluasan 100 meter persegi itu, sama ada bersama keluarga atau rakan taulan bagi merasai suasana indah ruang angkasa pada waktu malam.
"Ia sememangnya satu sambutan luar jangkaan sejak dibuka 10 Ogos lalu, sepatutnya pesta ini sudah berakhir pada 10 Sept lepas, namun kami menerima permintaan daripada ramai pihak di media sosial supaya ia dilanjutkan kerana ada yang belum berkesempatan untuk datang ke sini.
"Susulan itu, kami menganjurkan semula pesta ini bermula 15 Sept lepas, dilanjutkan hingga 1 Okt ini bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk singgah dan menyaksikan suasana berada di angkasa sambil dapat mengenali planet dan angkasawan yang terdapat di sini," katanya ketika ditemui Bernama di tapak pesta itu, baru-baru ini.
Beliau berkata tiket ke tapak pesta berharga RM7 seorang untuk dewasa manakala percuma bagi kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah dan Orang Kurang Upaya dengan pesta bermula pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam.
Bagaimanapun katanya, jika cuaca hujan Pesta Cahaya Sains Angkasa itu tidak akan beroperasi dan akan mengakibatkan penganjur alami kerugian kira-kira RM500 sehari kerana perlu menggantikan lampu yang rosak.
Menurutnya reka bentuk angkasa dan taman bunga berlampu di sekitar pesta itu dihasilkan oleh tujuh petugas dengan menggunakan teknik pencahayaan laser dan lampu yang menelan kos keseluruhan kira-kira RM50,000.
"Kita juga menggunakan lima tong asap sehari bagi menghasilkan awan buatan menggunakan laser membuatkan pengunjung pasti terpegun untuk merakamkan gambar dan video," katanya.
Katanya selepas RTC Perak, pihaknya bercadang menganjurkan pesta tersebut di lokasi kedua iaitu di Arena Square, Pengkalan Hulu selama sebulan, bermula Oktober ini.
Seorang pengunjung Amirul Rahman, 44, ketika ditemui berkata pesta bertemakan angkasa itu amat luar biasa kerana dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk merasakan seolah-olah berada di ruang angkasa lepas.
"Kebetulan saya dan keluarga melalui lebuh raya untuk ke Ipoh jadi kami singgah ke sini untuk anak-anak merasai dan mempelajari sedikit sebanyak mengenai ilmu astronomi," katanya.
Sumathi, 30, pula berkata beliau mengambil peluang pada hari cuti untuk datang bersama rakan-rakan dan bergambar kenangan berlatar belakangkan ruang angkasa.
"Peluang seperti ini jarang sekali kita jumpa jadi kami mesti datang kerana memang suka bergambar cantik-cantik dan membuat rakaman video untuk dikongsikan di laman media sosial," katanya.
-- BERNAMA
#Pesta Cahaya Sains Angkasa #sains angkasa #RTC Gopeng #angkasawan
;