Rasa 'nak mati' tunggu rumah dari JAKOA - Orang Asli

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 26, 2018 16:27 MYT
Penantian Azrul selama lapan tahun berakhir apabila dia menerima rumah sumbangan daripada ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Sri KDU. - Foto Astro AWANI
Setiap daripada kita pasti mengimpikan untuk tinggal di kediaman yang sempurna. Sekurang-kurangnya, dapat berteduh daripada hujan dan panas.
Itu juga antara impian Azrul Abdul, 23, salah seorang penduduk Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Lalang di sini.
Namun ia tidak semudah yang disangka apabila permohonannya untuk mendapatkan rumah daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menemui jalan buntu.
"Sudah berapa lama saya tunggu, masih tak dapat rumah. Dahulu saya tinggal di sini selama tiga tahun dan kemudian berpindah di sekitar Semenyih juga selama lima tahun.
"Keseluruhan lapan tahun saya menetap di sekitar kawasan ini, masih tak dapat rumah.
"Pergi ke JAKOA mohon pun tak dapat rumah. Sampai nak mati la rasanya nak minta rumah. Itu yang saya harapkan," katanya kepada media di sini.
Tambah bapa kepada dua anak itu, rumah yang didiaminya kini dimakan anai-anai serta mengalami kebocoran bumbung yang serius.
"Sebelum ini, rumah saya kecil sahaja dan buat sendiri. Tak berapa selesa, ada senget-senget, saya tahu duduk sahaja dan tak pandai buat rumah. Boleh la buat berteduh.
"Lepas itu, apabila dah setahun lebih kami duduk di situ, tiang rumah itu dimakan anai-anai, atap pula bocor.
"Apabila hujan, habis air masuk dalam bilik. Kami pun tak tau nak lari mana," keluhnya.
Namun, penantiannya selama lapan tahun berakhir apabila dia menerima rumah sumbangan daripada ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Sri KDU.
Rumah yang dibina sendiri oleh 25 pelajar yang dibantu lima guru koordinator dan pasukan pembinaan EPIC Home merupakan sabahagian daripada projek tanggungjawab korporat sosial Sri KDU kepada masyarakat.
Azrul yang bersyukur dengan bantuan itu merakamkan ribuan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat yang merealisasikan impiannya itu.
"Perasaan saya memang memuaskan hati bila tengok rumah semua yang cantik dan rasa gembira dapat rumah ini.
"Sudah berapa lama saya tunggu, tak dapat rumah. Baru ini lah saya nampak rumah saya sendiri," katanya pada sesi penyampaian kunci rumah hari ini.
#Jabatan Kemajuan Orang Asli #JAKOA #Orang Asli #rumah #Sri KDU
;