Rasa manis-pedas, kuah pekat, tarikan rojak tiga generasi
Khairunnisa Kasnoon, Shuhada Abdul Kadir
Ogos 15, 2018 08:17 MYT
Ogos 15, 2018 08:17 MYT
Legasi datuk mengusahakan gerai rojak bergerak di pekan Kuala Pilah sejak tahun 30-an tidak pernah suram, malah diteruskan oleh Mohamad Rafi Ibrahim, 59 tahun, generasi ketiga kedai Mee & Rojak Ibrahim.
Jika ke Kuala Pilah, tidak lengkap rasanya kalau tidak menjamah rojak di gerai yang terletak di Pasar Besar Kuala Pilah yang memulakan perniagaan seawal jam 7.30 pagi.
Mana tidaknya, ada antara pengunjung yang sanggup datang dari luar Kuala Pilah, mahupun luar Negeri Sembilan, untuk merasai sendiri kelainan rasa rojak yang berbeza dari tempat-tempat lain.
Jelas Mohamad Rafi, kedai Mee & Rojak Ibrahim di Pasar Besar Kuala Pilah itu mula dibuka sejak tahun 1955 oleh arwah ayahnya, sebelum dia mengambil alih sepenuhnya pada tahun 2000.
Sebelum bapanya membuat keputusan membuka kedai di kawasan pasar tersebut, arwah datuknya terlebih awal memperkenalkan rojak turun temurun itu dengan menjaja di sekitar Kuala Pilah, menggunakan kereta tolak menjual rojak secara bergerak.
"Sebelum ni, datuk saya yang mengusahakan perniagaan ini. Tetapi, datuk tiada gerai seperti ini. Dia guna kereta tolak, ketika itu tahun 30an.
"Ini generasi ketiga. Sambutannya, Alhamdulillah, orang balik kampung selalu singgah. Yang bekerja di luar, balik kampung, singgah. Terutamanya pada hari cuti," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Jelas Mohamad Rafi, sejak dahulu, tiga menu utama yang dihidangkan kepada pelanggan ialah rojak biasa, rojak mee dan rojak kuih.
"Kelainannya di sini, kami ada dua kuah. Satu yang pedas, satu yang manis. Kita gabungkan yang manis dan pedas. Di sesetengah tempat, dia hanya jual yang manis sahaja."
Sementara itu, rata-rata pelanggan ketika ditemui Astro AWANI berkata, kedai Mee & Rojak Ibrahim sememangnya menjadi pilihan untuk menikmati menu berkenaan.
Ada antara mereka yang sanggup datang dari jauh semata-semata untuk mendapatkan rojak Ibrahim dan mengakui rasa 'manis-pedas' pada rojak itu menjadikannya lain daripada yang lain.
Salah seorang pelanggan, Norlin Mohd Nor, 51 tahun, seorang cikgu memandu dari Seremban, berkata dia mengunjungi kedai itu selepas berurusan dengan pejabat kerajaan berdekatan.
"Saya pergi buat lesen di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Pilah. Dari tadi dah teringat. Datang sahaja ke Kuala Pilah, mesti kena datang sini dulu. Mesti singgah sini.
"Datang sini, makan rojak mee ketika masih panas, barulah sedap. Kalau bungkus untuk dibawa balik, rojak jadi sejuk, kurang enak," katanya.
Manakala seorang penduduk tempatan, Mohd Sanawi Romli, 68 tahun, turut menceritakan kelainan rojak mee Ibrahim.
"Sekarang umur saya 68 tahun. Kedai ini memang dah sentiasa ada. Bermakna, dari zaman Ibrahim dulu kedai ini dibuka, macam inilah, orang penuh sentiasa. Ketika perayaan, sampai ke hujung sana orang memenuhi kedai ini.
"Kelainan rasa rojak mee dia ialah pada kuahnya yang pekat. Banyak pekerja dia yang apabila berhenti, cuba buka kedai sendiri, tetapi ia tak menjadi," katanya.
#Kedai makan
#Kuala Pilah
#Mee & Rojak Ibrahim
#Mohamad Rafi Ibrahim
#rojak mee
#rojak mee Ibrahim
#tiga generasi