Rasa kecewa, putus asa hadapi masalah hidup punca hina agama

Sinar Harian
Julai 18, 2022 06:00 MYT
Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, situasi tersebut menyebabkan mereka berasa tidak ditolong oleh ALLAH SWT pada saat mereka memerlukan. - Foto fail
SHAH ALAM: Perasaan kecewa dan putus asa apabila berhadapan dengan masalah-masalah hidup menjadi antara kemungkinan seseorang bertindak menghina agama.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, situasi tersebut menyebabkan mereka berasa tidak ditolong oleh ALLAH SWT pada saat mereka memerlukan.
Mohd Zawawi menerusi satu kenyataan berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan kes-kes berkenaan sejak kebelakangan ini.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menerima laporan khusus tentang punca munculnya gejala berkenaan.
"Kerajaan Selangor cenderung melihat kepada usaha-usaha membendung dari sudut menjernihkan kefahaman terhadap Islam, ketuhanan dan amalan-amalan sama ada dalam kalangan umat Islam atau bukan Islam amnya.
"Kerajaan Selangor menyeru kepekaan ahli-ahli keluarga dan rakan taulan yang rapat dengan individu-individu berkenaan segera bertindak membantu dan melorongkan mereka ke jalan yang betul," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, majlis-majlis ilmu di masjid dan surau wajar ditumpukan menyeru kepada isu-isu ketuhanan dan kekuatan mental dan spiritual umat agar sentiasa bersangka baik kepada ALLAH SWT.
Ujarnya, kerajaan Selangor juga menggalakkan agar kuliah-kuliah tidak dijalankan secara statik di masjid dan surau sebaliknya perlu dilaksanakan di pelbagai lokasi tumpuan masyarakat dengan kaedah lebih santai dan bersahaja.
"Kerajaan Selangor menyeru agar masyarakat di negeri ini menyemai dan mempraktikkan konsep Fiqh Ta’ayyush (hidup bersama) dalam negara yang majmuk sifatnya ini agar sentiasa saling hormat-menghormati dalam kalangan rakyat," katanya. - Sinar Harian
#Mohd Zawawi Ahmad Mughni #kecewa #hina agama #masalah hidup
;