'Rasa bertenaga pagi ini, tidak lagi berlapar'

Ruzaini Zulkepli
Januari 20, 2020 11:01 MYT
Sebahagian daripada 415 murid SK Kebagu yang menerima manfaat daripada Program Sarapan Percuma yang bermula di seluruh negara hari ini. - Astro AWANI
"Rasa baik selepas sarapan. Dapat memberikan saya tenaga. Saya bersyukur dapat makanan percuma."
Demikian disuarakan salah seorang murid Tahun Enam yang mengikuti Program Sarapan Percuma di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebagu Menggatal di sini pagi ini.
Kata Nurul Qharriah Pormin, 12 tahun, program sarapan tersebut amat berkesan bagi memastikan murid-murid tidak berlapar sebelum memulakan pelajaran pada waktu pagi.
Dia antara 415 murid yang tersenarai dan layak menerima juadah sarapan nasi lemak pagi ini, di bawah rancangan sarapan itu di SK Kebagu.
Keseluruhannya, seramai 5,423 murid daripada 13 buah sekolah seluruh Sabah menerima manfaat daripada program sarapan yang bermula di seluruh negara hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin yang hadir meninjau pelaksanaan program itu di sekolah tersebut berkata, program sarapan percuma itu dilihat mendapat respon positif dalam kalangan murid yang tersenarai.
"Kita mendapat makluman bahawa, banyak murid yang tidak sarapan pagi.
"Sebelum ini, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dibuat pada waktu rehat, jadi apabila mereka makan sebelum waktu pembelajaran, itu sesuatu yang bagus, supaya mereka tidak lapar," katanya.
BACA: Lebih 4,000 murid beroleh manfaat daripada Program Sarapan Percuma
BACA: Program Sarapan Pagi hanya untuk murid kurang berkemampuan - Tun Mahathir
BACA: Program Sarapan Percuma dijangka manfaat 2.7 juta murid seluruh negara - Maszlee
Selain SK Kebagu, antara sekolah yang turut terlibat adalah SK Kulambai, SK Tandek, SK ST James (M), SK Pinggan-Pinggan, SK Binsulok, SK Kundasang, SK Penangah, SK Bukit Garam, SK Kabogan, SK Umas-Umas, SK Nambayan dan SK Pekan Nabawan.
Mengulas mengenai program RMT di SK Kebagu, Mistirine berkata, pihaknya berpuas hati berkenaan pelaksanaannya namun ia masih memerlukan penambahbaikan dalam tempoh terdekat ini.
"Untuk penambahbaikan program RMT ini, buat masa ini, tidak semua murid dapat sarapan (di bawah PSP), hanya yang berpendapatan RM1,180 sebulan sahaja. Jadi, tidak semua rakyat dapat kemudahan ini," katanya.
Mistirine berkata, dari segi penyediaan makanan, tidak ada masalah yang timbul.
"Cuma mungkin ada sedikit masalah dari segi tempat makan, itu sahaja. Tetapi saya percaya, sekolah akan buat penambahbaikan," katanya.
#Kota Kinabalu #Mistirine Radin #murid kurang berkemampuan #pelajar #pendidikan #Program Sarapan Pagi #program sarapan percuma #PSP #rakyat #Rancangan Makanan Tambahan #RMT #Sabah #Sarapan #sekolah #tidak berlapar
;