Ras Adiba tumpu usaha cari Zalina Azman di Bangsar
Bernama
Julai 22, 2022 23:23 MYT
Julai 22, 2022 23:23 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Radzi akan menumpukan usaha pencarian rakan baiknya dan bekas pembaca berita TV3, Zalina Shaharah Azman, yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu, di kawasan sekitar Bangsar, di sini.
Beliau berkata ini kerana kawasan berkenaan mempunyai nilai sentimental kepada mereka berdua dan sebagai sahabat, usaha pencarian akan dilakukannya tanpa mengira berapa lama tempoh yang perlu diambil.
"Saya tak tahu bagaimana keadaan sahabat saya (Zalina), tetapi pada saya, kita (akan) cari dia di tempat-tempat yang dia (pernah) biasa dahulu, mungkin ia dapat membantu untuk mencari dia dan dia mencari kita.
"Saya bukannya seorang yang pakar untuk mencari orang tetapi saya cuba pergi ke tempat-tempat yang dia biasa, manalah tahu ada rezeki dapat bertembung," katanya kepada pemberita selepas melancarkan album lagu-lagu puisi dan buku kumpulan puisi sebatang pohon tuan terbitan Kelab Pemuisi Nasional (Pemuisi), hari ini.
Ras Adiba, yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral, berkata kali terakhir beliau bertemu dengan rakannya yang lebih dikenali sebagai Zalina Azman itu adalah pada awal tahun lepas.
"Seperkara mengenai Zalina, dia adalah seorang yang periang...namun saya ada merasakan sesuatu yang dia simpan itu berat sekali. Saya tidak bertanya tetapi saya tahu dia sedang melalui keadaan yang sukar di dalam hidup dia dan saya berdoa supaya dia masih bersama kita," katanya.
Beliau dalam masa sama memohon bantuan orang ramai untuk membantu mencari Zalina.
Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas.
-- BERNAMA